WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kecekalan Hati Bryan Terbalas Dengan Kejayaan Pertahan Emas Nanquan

14/08/2024 06:00 PM

KUCHING, 14 Ogos (Bernama) -- Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 mencatatkan detik penting dalam perjalanan karier atlet wushu muda Melaka Bryan Ti Kai Jie yang menunjukkan kecekalan luar biasa dalam menghadapi cabaran sukar demi mempertahankan pingat emasnya.

Pada Julai lepas, pemenang dua pingat emas kejohanan remaja dunia 2022 di Indonesia itu berdepan satu ujian getir apabila diserang demam yang berlarutan selama 10 hari.

Akibatnya, apabila atlet berusia 20 tahun itu kembali menjalani sesi latihan, tahap kecergasannya merudum, menyebabkan beliau tidak mampu menyelesaikan rutin acara seperti biasa, sekali gus memberi tekanan yang besar kepada dirinya.

“Bila berlatih semula, saya tak boleh habiskan satu rutin pun, memang mencabar, setiap kali cuba habiskan satu rutin, saya akan batuk dan muntah, jadi saya sangat stres masa itu,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian pingat acara nanquan lelaki SUKMA 2024 di Dewan Wushu SSC di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Bryan mengakui beliau enggan membiarkan kesukaran itu menghalang cita-citanya untuk melakar kejayaan pada penampilan SUKMA terakhirnya.

Menyedari tentang kekurangan dalam persediaannya yang terjejas, beliau mengambil keputusan untuk menggandakan usaha.

"Saya punya mental kena kuat.. jadi saya berlatih lebih banyak daripada orang lain, kalau orang lain berlatih satu rutin penuh, saya buat dua. Kalau orang lain berlatih 30 minit saya buat satu jam,” katanya yang turut dijadualkan turun beraksi dalam acara nangun esok dan nandao pada Jumaat.

Sementara itu, semangat kental dan dedikasi Bryan tidak hanya terhad kepada temasya SUKMA apabila beliau menyasarkan untuk menjejakkan kaki ke kejohanan lebih besar di peringkat senior.

“Saya ingin menyertai banyak lagi pertandingan besar seperti Sukan SEA, Sukan Asia atau Sukan Universiti Dunia. Saya nak melakukan semuanya dalam karier wushu dan memberi kemenangan untuk Malaysia,” katanya.

Terdahulu, gerakan tangkas dan kemas Bryan dalam acara nanquan lelaki membolehkannya memahat nama dalam sejarah SUKMA 2024 apabila memenangi pingat emas pertama temasya sukan edisi ke-21 itu selepas meraih pungutan mata tertinggi 9.600 untuk mengatasi 16 lagi pencabarnya.

Pingat perak menjadi milik Foo Mun Fei dari Perak, manakala atlet tuan rumah Fung Tai Leong terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas kedua-duanya berkongsi 9.560 mata.

Wushu, sukan yang menggabungkan elemen seni mempertahankan diri dan estetika pergerakan menawarkan keseluruhan 28 pingat emas sepanjang tiga hari pertandingan bermula hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan