WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sukan Paralimpik: Aidil Sholeh Seronok 'Bimbing' Liek Hou, Muhammad Fareez

17/08/2024 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki profesional Aidil Sholeh Ali Sadikin teruja berkongsi ilmu dengan jaguh badminton para Cheah Liek Hou serta rakan sepasukan Muhammad Fareez Anuar menjelang Sukan Paralimpik Paris 2024 dari 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

Walaupun kurang menempa nama di peringkat antarabangsa, namun Aidil Sholeh tetap terharu dengan kepercayaan diberikan jurulatih dari Indonesia Nova Armada untuk 'membimbing' serta menjadi rakan pelatih kedua-dua anak buahnya pada kem latihan di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini.

"Coach Nova panggil untuk tolong dia (berlatih bersama Liek Hou dan Muhammad Fareez) sejak minggu lepas lagi. 

"Walaupun tolong mereka dalam masa singkat, namun apa yang saya dapat lihat segala persiapan diatur mereka berada dalam keadaan sangat bagus ketika ini,” katanya kepada Bernama.

Liek Hou yang juga pemenang emas perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, manakala Muhammad Fareez yang bersaing dalam kategori sama bakal membuat penampilan sulung di Paris 2024.

Aidil Sholeh berkata sesi latihan disertai itu juga membantunya membuat persediaan bagi menghadapi kejohanan Cabaran Antarabangsa Indonesia 2024 di Pekanbaru dari 20 hingga 25 Ogos ini.

Pemain berusia 24 tahun itu dijadual membuka kempen cabaran  berkenaan dengan menentang pemain tuan rumah Jason Christ Alexander pada pusingan pertama.

Selain kejohanan di Pekanbaru, pemain dari Selangor itu juga memaklumkan telah merancang untuk beraksi dalam lima kejohanan lagi hingga Oktober ini.

Justeru, pemain ke-137 dunia itu berharap dapat memperbaiki ranking Persekutuan Badminton Dunia sekurang-kurangnya ke kedudukan 100 menjelang akhir tahun ini.

Aidil Sholeh berkata beliau perlu tampil dengan konsisten selain sekurang-kurangnya mara ke peringkat suku akhir dalam setiap kejohanan disertai tahun ini bagi menembusi kelompok 100 pemain terbaik dunia.

Beliau yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia Jun lepas adalah antara pemain yang membantu Malaysia menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 di Shah Alam selain pernah mewakili skuad kebangsaan dalam Piala Thomas 2022 di Bangkok.

Untuk pencapaian individu, beliau pernah merangkul gelaran naib juara Cabaran  Antarabangsa Malaysia 2022 di Ipoh, Perak dan Terbuka Hellas 2019 di Greece.

-- BERNAMA

 

TAG:

 


AMMM AMMM AYU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan