WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ketua Jurulatih Negeri Sembilan Puas Hati Walaupun Seri 2-2 Dengan KDA FC

18/08/2024 08:54 AM

ALOR SETAR, 18 Ogos (Bernama) -- Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC K. Nanthakumar berpuas hati dengan prestasi kesebelasan utamanya yang memberikan ‘hadiah’ buat dirinya yang baharu membimbing pasukan itu dua hari lepas.

Beliau berkata keputusan seri 2-2 ketika bertandang ke laman pihak lawan sangat membanggakan, memandangkan lawan bukan sahaja berpengalaman dan kuat, tetapi juga bermain dalam suasana di mana tuan rumah mendapat sokongan padu daripada peminat setia hijau kuning.

"Saya sudah memberitahu pemain sejak awal bahawa dalam perlawanan pertama ini, jika kamu memberikan tiga mata, itu adalah bonus bagi saya, dan jika satu mata pun, saya tetap gembira.

“Syukur kita dapat satu mata. Saya bangga dengan pemain yang memberikan persembahan terbaik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan yang menyaksikan anak buahnya berjaya mengikat KDA FC 2-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini, petang semalam.

Dalam pada itu, Nanthakumar mengakui menghadapi pelbagai cabaran untuk membawa pasukan ke tahap yang lebih baik dalam carta liga, selepas mengalami enam kekalahan dan satu kemenangan dalam lapan perlawanan setakat ini.

Nanthakumar berkata tugas itu harus dipikulnya dan beliau akan menerapkan formasi serta taktikal baharu untuk perlawanan akan datang.

"Dalam masa terdekat, dengan satu bulan lagi sebelum perlawanan dan beberapa perlawanan persahabatan, kita akan ubah suai corak permainan kita nanti," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KDA FC Mohd Nafuzi Zain berkata kelekaan serta kesilapan demi kesilapan yang dilakukan menjadi punca Kedah gagal mengutip tiga mata walaupun beberapa peluang terhidang.

Katanya, tiada penyudah tepat dan corak permainan perlahan pada separuh masa pertama menyukarkan pasukan mencipta kemenangan sehingga pertukaran pemain dilakukan bagi meningkatkan lagi tempo serangan.

"Peningkatan permainan ketara pada separuh masa kedua selepas memasukkan Mohd Fayadh. Walaupun ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama, semangat pemain membolehkan kita mendahului 2-1 sebelum seri.

“Ia kesilapan mudah seperti apa yang berlaku dengan Kucing City. Kita dah mendahului tapi kesilapan mudah menyebabkan kita ketinggalan dan kerugian mata, sepatutnya dapat tiga mata hari ni,” katanya.

KDA FC kini berada di tangga kelapan carta liga, dengan lapan mata manakala NSFC ditangga ke-12 dengan empat mata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan