WILAYAH - UTARA > BERITA

Kematian Kanak-kanak Orang Asli Diklasifikasikan Kes Bunuh

18/08/2024 09:04 PM

SUNGAI SIPUT, 18 Ogos (Bernama) -- Polis mengklasifikasikan semula kes kematian kanak-kanak perempuan Orang Asli mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kata Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin.

Beliau berkata siasatan diklasifikasikan semula selepas keputusan awal bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan di bahagian leher termasuk kesan koyak pada bahagian sulit mangsa. 

"Siasatan polis di lokasi kejadian dan laporan hasil bedah siasat terhadap mangsa mendapati terdapat unsur jenayah. Laporan oleh pakar patologi itu kita dapat pada petang ini. 

"Polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa yang ditemukan maut di kawasan berpaya itu dirogol sebelum dibunuh. Berkemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain kemudian dibawa ke lokasi mayat ditemukan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Khaizam berkata susulan itu polis menahan seorang suspek lelaki berusia 17 tahun bagi membantu siasatan.  

"Suspek adalah saudara terdekat yang mengenali mangsa, kita tahan suspek pada 5 petang tadi di kawasan rumah suspek. 

"Polis akan bawa suspek ke Mahkamah Sungai Siput esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan, malah kita juga telah memanggil beberapa saksi untuk memberi keterangan hari ini," katanya. 

 Terdahulu, Nuraina Humaira Rosli,10, yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas ditemukan meninggal dunia di kawasan berpaya di perkampungan berkenaan semalam.

Mohd Khaizam berkata mayat kanak-kanak terbabit ditemukan sekitar 4.20 petang selepas pencarian dilakukan oleh kira-kira 60 orang melibatkan polis, bomba dan penduduk kampung dan khidmat anjing pengesan (K9) milik Polis Diraja Malaysia turut digunakan. 

Beliau berkata pada peringkat awal, polis mengklasifikasikan sebagai kes orang hilang sebelum diklasifikasikan kes mati mengejut apabila mendapat pengesahan kematian mangsa daripada pihak Hospital Sungai Siput sementara menunggu keputusan bedah siasat. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan