WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Untung Bersih Suku Pertama Tahun Kewangan 2025 AMMB Naik 32 Peratus Kepada RM500 Juta

20/08/2024 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) meningkat 32.2 peratus kepada RM500.20 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2024 daripada RM378.37 juta pada tahun sebelumnya, terutamanya berikutan caj rosot nilai lebih rendah.

AmBank Group dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, bagaimanapun hasil menyusut kepada RM1.18 bilion daripada RM1.20 bilion. 

Menurut kumpulan perbankan itu, caj rosot nilai bersihnya pada suku berkenaan lebih rendah kepada RM12.3 juta (suku pertama tahun kewangan 2024: RM190.4 juta) berikutan "caj rosot nilai yang lebih baik dalam perbankan runcit dan perbankan perniagaan.”

 Pendapatan faedah bersih (NII) meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun kepada RM860.9 juta (suku pertama tahun kewangan 2024: RM808.7 juta) berikutan pengembangan margin faedah bersih (NIM) kepada 1.89 peratus (suku pertama tahun kewangan 2024: 1.76 peratus).

Pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan menokok 2.9 peratus tahun ke tahun khususnya dipacu oleh pertumbuhan pinjaman perbankan perniagaan sebanyak 16.5 peratus tahun ke tahun.

Pendapatan bukan faedah (NOII) menyusut 19.2 peratus tahun ke tahun kepada RM317.6 juta (suku pertama tahun kewangan 2024: RM393.2 juta) berikutan "keuntungan penjualan AmGeneral Insurance Bhd yang tidak berulang sebanyak RM51.1 juta, dan keuntungan dagangan dan sekuriti yang lebih rendah.”

“Pendapatan bersih daripada operasi yang berterusan berjumlah RM1.178 bilion adalah 2.4 peratus lebih tinggi tahun ke tahun, diteraju pertumbuhan NII 6.4 peratus, diimbangi oleh penurunan 7.1 peratus NOII,” katanya.

Jumlah deposit pelanggan merosot 4.8 peratus setakat ini pada tahun ini kepada RM135.5 bilion (tahun kewangan 2024: RM142.4 bilion) memandangkan kumpulan itu menguruskan kos dana dan mempelbagaikan sumber pembiayaan untuk meningkatkan margin.

Deposit masa tidak banyak berubah setakat ini pada tahun ini kepada RM89.7 bilion (tahun kewangan 2024: RM89.6 bilion) manakala akaun semasa dan simpanan (CASA) susut 13.3 peratus setakat ini pada tahun ini kepada RM45.8 bilion (tahun kewangan 2024: RM52.8 bilion).

Kumpulan itu kekal mempunyai mudah tunai yang tinggi dengan nisbah perlindungan mudah tunai sebanyak 167.9 peratus (tahun kewangan 2024: 164.6 peratus) manakala nisbah pinjaman kepada deposit menokok kepada 97.9 peratus (tahun kewangan 2024: 94.2 peratus).

Pada masa depan, AmBank Group berkata tumpuan strategiknya adalah untuk memacu segmen perusahaan kecil dan sederhana serta korporat pertengahan untuk meneraju pertumbuhan pinjaman, meningkatkan tawaran pengurusan kekayaan dan membangunkan penyelesaian rantaian bekalan yang cekap kepada pelanggan.

“Kumpulan akan terus melabur dalam teknologi, selaras dengan agenda pendigitalannya untuk mencapai kecemerlangan operasi melalui peningkatan kecekapan proses dan pembangunan alat produktiviti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan