WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Final Piala FA: Polis Pantau Provokasi Di Stadium Dan Media Sosial

24/08/2024 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau penyokong yang cuba menimbulkan provokasi menjelang perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, termasuk di media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pemantauan media sosial adalah langkah tambahan yang diambil, selain penugasan lebih 2,400 anggota yang akan membuat kawalan di dalam dan luar stadium bagi perlawanan membabitkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.

“Penyokong dan penonton diharap bersabar dan jangan timbulkan provokasi tidak kira di dalam stadium mahu pun di media sosial, kerana kita akan membuat pemantauan.

“Ingatan ini kepada semua penyokong tidak kira penyokong dari Johor, Selangor atau penyokong dari negeri-negeri lain, yang akan menonton perlawanan pada malam ini,” katanya kepada pemberita awal pagi tadi.

Rabu lepas, Bernama melaporkan pemeriksaan akan dilakukan terhadap penyokong sebelum dan selepas memasuki stadium, bagi mengelakkan barangan larangan dibawa masuk dan lencongan serta penutupan jalan akan dilakukan di sekitar stadium bagi memastikan kelancaran trafik.

Polis turut menjangkakan seramai 85,000 penyokong akan hadir ke stadium untuk menonton perlawanan malam ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan