WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sarawak Juara Keseluruhan SUKMA 2024

24/08/2024 09:49 PM

KUCHING, 24 Ogos (Bernama) -- Tuan rumah, Sarawak, mengesahkan gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini dengan kelebihan sebutir emas mengatasi Wilayah Persekutuan, selepas mengharungi perebutan paling sengit dalam sejarah temasya dwitahunan kebangsaan itu.

Kejayaan ini merupakan kali keempat selepas muncul juara edisi 1990, 1992 dan 1994 dengan mengumpul keseluruhan 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa.

Wilayah Persekutuan, juara edisi 1986 (sebagai Kuala Lumpur) dan 2014, terpaksa akur sebagai naib juara dengan kutipan 75-65-72, diikuti Selangor (56-64-61), Pulau Pinang (41-45-52) dan Terengganu (41-36-47) untuk melengkapkan kedudukan lima teratas.

Wilayah Persekutuan bagaimanapun boleh berbangga apabila mencatat sejarah muncul juara acara bola sepak lelaki SUKMA buat kali pertama, apabila menewaskan Melaka 2-1 pada aksi final di Stadium Mukah sekali gus  membawa pulang ‘ibu segala pingat’ itu.

Kedah pula meraih empat daripada 14 emas ditawarkan di sukan pelayaran hari ini; Terengganu dan Sabah masing-masing meraih tiga emas; tuan rumah dua emas manakala Selangor dan Pahang satu emas.

SUKMA 2024 yang mempertandingkan 488 acara daripada 37 jenis sukan dengan penyertaan lebih 12,000 atlet dan pegawai, menutup tirai secara rasmi, malam ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan upacara penutupan di Stadium Perpaduan di sini. 

Pada majlis sama, perenang Selangor Andrew Goh dan penembak Negeri Sembilan Gan Chen Jie masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SUKMA 2024. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan