WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sarawak Sedia Bantu Kerajaan Persekutuan Dalam Pembangunan Sukan - Abang Johari 

24/08/2024 10:11 PM

KUCHING, 24 Ogos (Bernama) -- Sarawak bersedia membantu Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan sukan negara, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata komitmen dan dedikasi Sarawak untuk memberikan terbaik dapat dilihat menerusi kejayaan penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang menutup tirai malam ini.

“Sarawak telah berikan perkhidmatan terbaik dan mudah-mudahan ini akan jadi satu tanda aras (bukan saja untuk acara sukan) tetapi juga untuk agenda besar memupuk tali persaudaraan dalam kalangan atlet dan anak muda.

“Sudah tentu semuanya tidak sempurna 100 peratus. Jika ada kekurangan, saya minta maaf tetapi secara keseluruhannya kita telah berikan yang terbaik buat anak Malaysia,” katanya ketika berucap pada upacara penutupan SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan di sini malam ini.

Upacara penutupan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari. 

Abang Johari berkata sepanjang penganjuran SUKMA 2024, anak Malaysia dari Perlis hingga Sabah termasuk atlet dari Brunei telah mempamerkan semangat keharmonian yang tinggi.

“Hakikatnya, perpaduan anak muda sangat menyerlah... mereka telah bersaing dengan semangat kesukanan tinggi dan ada antara mereka yang telah memecah rekod SUKMA 2024,” katanya.

SUKMA 2024 bermula secara rasmi sejak 17 Ogos lepas menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan