WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tanah Jerlus: SAR Hari Keempat Fokus Lurang Kelima

26/08/2024 11:38 AM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang memasuki hari keempat, disambung hari ini dengan meneruskan teknik flushing di lurang kelima.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memaklumkan teknik itu, dilakukan secara berperingkat sejak petang semalam.

“Bagaimanapun, setelah dua kali teknik flushing dilakukan, mangsa masih belum ditemukan dan pada sebelah malam (semalam) pihak Indah Water Konsertium telah memulakan flushing yang dilaksanakan di lurang kelima dan mengambil masa sehingga jam 2 pagi (26 Ogos).

“Pencarian oleh pasukan SAR akan disambung pada pagi ini,” menurut kenyataan DBKL hari ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati anak kepada wanita berkenaan yang dikenali sebagai Surya, 26, dilihat berada di lokasi pencarian kira-kira pukul 9 pagi, bagi mengikuti perkembangan SAR.

Tinjauan di sekitar kawasan insiden turut mendapati kebanyakan premis perniagaan masih lagi ditutup dan hanya segelintir peniaga memulakan operasi setakat  9 pagi tadi.

Pengamal media turut berada di lokasi seawal 8 pagi tadi, bagi mengikuti perkembangan lanjut operasi tersebut.

Insiden pada pagi Jumaat lepas menyaksikan mangsa yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Mangsa, yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan di kawasan berkenaan untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian itu berlaku.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan