WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Thailand Komited Bekerjasama Dengan ASEAN Untuk Transformasi Pendidikan

26/08/2024 12:42 PM

Oleh Kenny Teng

BURIRAM, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Thailand komited untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN dalam usaha mentransformasikan pendidikan dalam era digital.

Menterinya, Jeneral Polis Permpoon Chidchob menekankan kepentingan kerjasama antara negara anggota ASEAN dan rakan dialog dalam membangunkan potensi guru serta golongan belia.

Beliau menekankan kepentingan mewujudkan ruang bagi pertukaran idea dan pembinaan rangkaian melalui inisiatif seperti program pertukaran pelajar, pertukaran guru dan kakitangan pendidikan, serta peruntukan biasiswa di semua peringkat.

Usaha-usaha ini akan memperkukuh dan membangunkan kerjasama dalam kalangan negara-negara di rantau ini, katanya.

Permpoon berkata demikian dalam ucapan perasmiannya di Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN ke-13 (ASED) sebelum merasmikan ASED ke-13 dan Mesyuarat Berkaitan yang bertemakan “Transforming Education in the Digital Era” yang diadakan di Chang Arena di sini pada Ahad.

Beliau menegaskan bahawa transformasi pendidikan bukan sahaja bertujuan untuk mewujudkan sistem yang memenuhi tuntutan abad ke-21, tetapi juga untuk mempersiapkan kanak-kanak dan belia menghadapi cabaran serta peluang baharu.

Komitmen Thailand untuk mentransformasikan pendidikan dalam era digital sejajar dengan visi Komuniti ASEAN 2025, pendekatan pembangunan yang diambil adalah berpusatkan rakyat demi meningkatkan kualiti hidup warga ASEAN.

Namun demikian, Permpoon berkata bahawa dalam usaha mentransformasikan sistem pendidikan Thailand, kerajaan memperkenalkan dasar "Thailand 4.0" yang bertujuan untuk memacu Thailand ke era digital dan mendorong ekonomi berasaskan inovasi.

"Kami berhasrat untuk mewujudkan sistem pendidikan yang mampu bertindak balas terhadap perubahan dunia dan mempersiapkan kanak-kanak serta belia dengan kemahiran yang diperlukan untuk masa depan," katanya.

Mesyuarat ASED juga mengesahkan Kenyataan Bersama Buriram Mesyuarat ASED ke-13 yang dirangka oleh Thailand, menggariskan komitmen terhadap Visi ASEAN 2025 dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kenyataan itu menekankan peranan penting pendidikan dalam menangani cabaran global dan menyokong tumpuan Thailand terhadap "Transformasi Pendidikan dalam Era Digital" dengan mengintegrasikan kerjasama serantau dan menggiatkan semula projek seperti pertukaran pelajar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan