WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Trafik Penumpang Udara Lonjak 14.3 Peratus Kepada 8.8 Juta Pada Julai 2024 - MAVCOM

26/08/2024 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Malaysia mencatatkan peningkatan dalam trafik penumpang udara sebanyak 14.3 peratus tahun ke tahun kepada 8.8 juta penumpang pada Julai 2024 berbanding 7.7 juta pada bulan yang sama tahun lalu, menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Ini turut menandakan kenaikan sebanyak 7.7 peratus bulan ke bulan berbanding 8.1 juta penumpang pada Jun 2024.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata angka trafik pada Julai 2024 menunjukkan ketahanan dan dinamisme sektor penerbangan Malaysia.

“Trafik antarabangsa terus menerajui pemulihan, sementara pertumbuhan ketara yang dapat dilihat dalam laluan ASEAN dan bukan ASEAN mengukuhkan kebangkitan semula perjalanan global, didorong oleh pemulihan ketersambungan dan keyakinan pengguna yang semakin meningkat.

“Kami amat teruja dengan prestasi kukuh dalam pasaran bukan ASEAN yang menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap Malaysia sebagai destinasi dan hab transit,” katanya.

Beliau berkata ketika industri penerbangan semakin menghampiri paras prapandemik, MAVCOM optimis Malaysia akan berada di landasan yang tepat untuk mencapai jumlah trafik penumpang yang diunjurkan pada tahun ini.

Sementara itu, MAVCOM berkata pertumbuhan tersebut disumbangkan oleh peningkatan dalam perjalanan antarabangsa, disokong oleh pemulihan berterusan laluan antarabangsa, pelaksanaan pengecualian visa 30 hari bagi pelancong dari China dan India, serta pengenalan destinasi antarabangsa baharu pada Julai 2024.

“Ini termasuk Sihanouk di Kemboja dan Qingdao dan Yantai di China. Secara keseluruhannya, ini menjadikan trafik Julai 2024 kepada 91.7 peratus daripada paras prapandemik pada Julai 2019, apabila trafik merekodkan 9.6 juta, dengan trafik antarabangsa mengetuai pemulihan,” katanya.

Suruhanjaya itu juga berkata trafik penumpang udara domestik pada Julai 2024 mencatatkan 4.3 juta penumpang atau 48.4 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Ini mewakili 88.0 peratus daripada jumlah trafik pada Julai 2019, iaitu sebanyak 4.8 juta. Trafik domestik menyaksikan peningkatan 4.3 peratus bulan ke bulan dari Jun 2024 dan peningkatan 3.5 peratus tahun ke tahun berbanding Julai 2023,” katanya.

Trafik penumpang udara antarabangsa pula menyumbang 51.6 peratus daripada jumlah keseluruhan, dengan 4.5 juta penumpang pada Julai 2024. Ini mewakili peningkatan kukuh sebanyak 11.1 peratus bulan ke bulan dan peningkatan 26.6 peratus tahun ke tahun dengan pencapaian 95.4 peratus daripada paras Julai 2019.

Dari segi pengagihan trafik, kedua-dua laluan ASEAN dan bukan ASEAN menyumbang sama rata kepada pertumbuhan trafik antarabangsa.

“Trafik ASEAN mencapai 2.3 juta penumpang, iaitu peningkatan 4.5 peratus bulan ke bulan dan peningkatan 16.3 peratus tahun ke tahun, manakala trafik bukan ASEAN mencatatkan peningkatan yang lebih kukuh dengan 2.3 juta penumpang,” katanya.

Bagi tujuh bulan pertama 2024, jumlah kumulatif trafik penumpang udara mencapai 55.4 juta penumpang selari dengan unjuran MAVCOM sebanyak 93.9 juta hingga 107.1 juta penumpang untuk sepanjang tahun.

Trafik antarabangsa terus menjadi pendorong utama, menyumbang 51.4 peratus daripada jumlah keseluruhan trafik penumpang setakat ini, manakala trafik domestik menyumbang 48.6 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan