WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KSN Rencana Kerangka Reformasi Perkhidmatan Awam

27/08/2024 04:14 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar telah merencana kerangka reformasi perkhidmatan awam bertujuan menambah baik perkhidmatan kepada rakyat selaras dengan kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Beliau berkata hasil kerangka reformasi itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh 100 hari perkhidmatannya sebagai KSN sejak dilantik pada 7 Ogos lepas.

"(Kerangka reformasi itu) antaranya kita akan kaji dari segi beberapa misi luar negara mungkin kita boleh buat rasionalisasi atau kita boleh perkecilkan, kemudian akan kaji balik segala undang-undang dan peraturan lapuk yang sudah 20 tahun tak pernah kita semak.

"Dan kita juga akan melihat kepada penjimatan sebab dalam perbelanjaan kita ini, adakalanya ada pembaziran, seterusnya kita akan buat pusingan kerja kepada kakitangan awam yang dah melebihi tujuh tahun di setiap kementerian dan jabatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kenegaraan Kementerian dan Jabatan Utama di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Azizi dan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Datuk Mohd Haswandi Ahmad.

Shamsul Azri berkata kerangka reformasi itu telah dibentangkan kepada perdana menteri yang telah memberikan respon positif.

"Setakat ni semua ketua jabatan, ketua setiausaha menyokong ke arah kita membuat reformasi kerana apabila kerajaan bersetuju dengan kajian kenaikan gaji, maka kita sebagai penjawat awam perlulah memberi balik kepada rakyat supaya kita ni releven kepada rakyat," katanya.

Terdahulu, Shamsul Azri menyampaikan sijil lantikan kepada 58 pegawai sumber manusia kementerian dan jabatan utama yang telah dilantik sebagai pegawai kenegaraan.

Pelantikan pegawai kenegaraan di kementerian atau jabatan utama merupakan satu langkah proaktif AKM dan Jabatan Perkhidmatan Awam dalam usaha untuk meningkatkan kefahaman dan kerjasama rakyat khususnya penjawat awam.

Pegawai kenegaraan adalah penghubung antara kementerian atau agensi dengan AKM yang berperanan sebagai penyelaras aktiviti atau program-program kenegaraan Malaysia MADANI di kementerian atau agensi masing-masing.

AKM yang ditubuhkan pada awal tahun ini bertujuan untuk meneraju kerjasama dengan semua pihak bagi memastikan keberkesanan Program Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI yang antara inisiatifnya ialah memperkasa ilmu kenegaraan dan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan