WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HDC Dilantik Sekretariat Jawatankuasa Petugas Penambahbaikan Taman Industri Halal

27/08/2024 05:39 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Halal Development Corporation Berhad (HDC) hari ini dilantik sebagai sekretariat Jawatankuasa Petugas Penambahbaikan Taman Industri Halal dan Sekretariat Majlis Halal Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata keputusan itu dibuat kerana satu pendekatan secara holistik perlu diambil, memandangkan potensi dan permintaan produk halal yang luas harus dimanfaatkan oleh pemain industri tempatan.

“Fokus harus diberikan bagi membangunkan taman industri halal agar ia dapat menjadi sebagai hab untuk mengeluarkan dan mengedarkan produk halal bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa yang semakin meningkat,” kata beliau dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Penambahbaikan Taman Industri Halal Bil 1/2024 hari ini.

Mesyuarat itu bertujuan membincangkan inisiatif Penambahbaikan Taman Industri Halal HALMAS sebagai susulan daripada MPIH yang telah diadakan pada 10 Jun.

Ahmad Zahid berkata taman industri halal yang berjaya, perlu mempunyai kesan limpahan positif ke atas ekonomi negara, dan pembangunan kesemua 14 taman industri halal yang keseluruhannya berkeluasan 5,476 hektar akan berupaya menarik pelaburan tempatan dan asing, seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

“Pada masa yang sama, hanya tiga daripada 14 taman industri halal telah mencatatkan peratusan penggunaan tanah melebihi 70 peratus iaitu di POIC Tanjung Langsat, Techpark @Enstek dan Melaka Halal Hub.

“Justeru, saya telah mengumumkan dalam mesyuarat MPIH yang lepas agar Pasukan Petugas Khas ditubuhkan untuk membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi oleh operator taman industri halal, serta mengemukakan cadangan bagi meningkatkan keberkesanannya,” kata Ahmad Zahid.

HALMAS merupakan akreditasi yang ditawarkan kepada operator Taman Halal yang berjaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan, di bawah pembangunan Taman Halal HDC.

Status HALMAS berkenaan membolehkan pemain industri dan para pelabur menikmati insentif yang ditawarkan oleh HDC.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat hari ini mengenal pasti beberapa isu seperti kekurangan insentif dan panduan yang jelas bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), kemudahan infrastruktur yang tidak mencukupi, keterbatasan rangkaian pengangkutan awam dan kekurangan strategi promosi dalam usaha menarik pelabur asing.

“Akhir sekali, saya menggesa agar Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, agensi serta operator agar bekerjasama dalam membangunkan taman industri halal. Saya yakin bahawa strategi komprehensif dan kerjasama bersepadu, akan dapat menyumbang ke arah pembangunan dan penggunaan taman industri halal yang optimum,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan