WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LHDN Galak Pembayar Cukai Manfaat Sistem e-Perkhidmatan

27/08/2024 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Para pembayar cukai digalak untuk memanfaatkan sistem e-Perkhidmatan yang disediakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pegawai Perhubungan Awam LHDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohammad Nasrul Izzati Zahari berkata dengan menggunakan e-Perkhidmatan, pembayar cukai boleh menguruskan urusan cukai dengan lebih mudah, cepat, selamat dan di mana-mana mereka berada.

“(Penggunaan e-Perkhidmatan) Kurangkan masa dan kos perjalanan anda, serta nikmati kemudahan akses kepada rekod dan dokumen anda pada bila-bila masa.

“Ini langkah bijak untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan anda. Jangan ragu untuk beralih kepada e-Perkhidmatan LHDN hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammad Nasrul berkata e-Perkhidmatan merujuk kepada pelbagai perkhidmatan percukaian yang disediakan LHDN secara dalam talian, bagi memudahkan pembayar cukai mengakses dan menggunakan perkhidmatan percukaian tanpa perlu hadir secara fizikal di pejabat LHDN.

“Penggunaan e-Perkhidmatan LHDN ini diwajibkan secara berperingkat bermula 1 Sept tahun lepas kerana ini merupakan salah satu usaha LHDN menerapkan elemen Kesedaran, Pendidikan dan Perkhidmatan (A.E.S).

“Semua perkhidmatan percukaian secara dalam talian ini dikumpulkan dalam satu platform iaitu di Portal MyTax, yang boleh diakses melalui mytax.hasil.gov.my,” katanya.

Mohammad Nasrul berkata MyTax berfungsi sebagai platform yang menyatukan semua e-Perkhidmatan Percukaian seperti e-Filing dan ByrHASiL dan pengguna akan menerima notifikasi jika ada bayaran cukai perlu diselesaikan atau jika mereka gagal menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) melalui e-Filing.

Beliau berkata MyTax juga membolehkan pengguna menyemak status sekatan perjalanan sebelum pergi ke luar negara.

“Selain itu, MyTax menyimpan maklumat peribadi pembayar cukai, termasuk nombor pengenalan cukai (TIN), maklumat pejabat LHDN yang mengendalikan fail mereka dan rekod pembayaran seperti Potongan Cukai Bulanan (PCB) serta baki cukai tertunggak.

“Pengguna boleh memuat turun aplikasi MyTax di telefon pintar atau tablet untuk kemudahan akses. Bagi pengguna baharu, anda perlu mendaftar TIN melalui e-Daftar dan memohon nombor PIN di MyTax. Pendaftaran boleh dilakukan melalui e-KYC (penggunaan swafoto) atau e-CP55D (melalui maklumat yang diperlukan seperti alamat e-mel berdaftar).

Mohammad Nasrul berkata pembayar cukai sedia ada boleh mengakses portal MyTax dengan menggunakan nombor kad pengenalan, nombor tentera, nombor polis, atau nombor pasport bersama dengan kata laluan.

“Jika terlupa kata laluan, pengguna boleh menetapkan semula kata laluan dengan menggunakan e-mel berdaftar. Jika e-mel tidak lagi digunakan, pendaftaran e-mel baharu boleh dilakukan melalui Borang Maklum Balas Pelanggan di www.hasil.gov.my,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan