WILAYAH - SARAWAK > BERITA

757 Projek Perumahan Terbengkalai Dipulihkan Dari Dis 2022 Hingga Julai 2024

27/08/2024 07:07 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 757 projek perumahan terbengkalai membabitkan kira-kira 89,165 unit rumah berjaya dipulihkan bagi tempoh Disember 2022 hingga Julai lepas dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM63.27 bilion.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata kejayaan itu diperoleh hasil usaha Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). 

Beliau berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Julai lepas pula, sebanyak 305 projek melibatkan 35,468 unit perumahan swasta telah berjaya dipulihkan dengan GDV bernilai RM23.46 bilion.

"Jumlah projek yang berjaya dipulihkan ini merangkumi 286 projek yang telah memperoleh Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), 14 projek yang berstatus lewat menjadi kembali lancar dan lima projek terbengkalai berjaya dipulihkan melalui kaedah penyiapan projek hingga memperoleh CCC atau Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) dan kaedah penyelesaian pembeli," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejayaan yang dicapai hasil usaha TFST itu menunjukkan usaha dan intervensi kerajaan MADANI dalam memastikan projek yang bermasalah kembali lancar dan disiapkan bagi mencapai matlamat untuk diserahkan kepada pembeli.

"Status projek ini yang dilaporkan secara berkala melalui mesyuarat TFST turut diperhalusi bagi mencari jalan penyelesaian sewajarnya," katanya menambah pada Julai lepas terdapat 231 projek perumahan berstatus lewat, 382 projek  sakit dan 114 projek terbengkalai telah dikenal pasti dan direkodkan oleh Jabatan  Perumahan Negara.

Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata KPKT telah menerima aduan daripada pembeli dan mengenal pasti beberapa projek terbengkalai yang telah dikeluarkan daripada senarai projek terbengkalai namun masih tidak diselesaikan sepenuhnya iaitu pembeli tidak menerima unit masing-masing atau tidak menerima balik bayaran deposit serta pampasan yang dijanjikan.

"Justeru, pasukan TFST sedang melaksanakan penyiasatan dan semakan semula dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelikuidasi serta akan mengadakan lawatan tapak untuk mendapatkan pengesahan status terkini projek tersebut.

"Hal ini bagi melaksanakan pertimbangan lanjut sebelum projek terlibat dimasukkan semula dalam statistik projek terbengkalai sedia ada," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan