WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Universiti Swinburne Sarawak Bangunkan Pusat R&D Tenaga Diperbaharui, Teknologi Avionik

27/08/2024 08:33 PM

KUCHING, 27 Ogos (Bernama) -- Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak akan membangunkan sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di sini yang menumpukan kepada tenaga diperbaharui serta sektor avionik berteknologi tinggi.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tapak bagi menempatkan pusat penyelidikan baharu itu akan dikenal pasti dan inisiatif tersebut membolehkan universiti berkenaan menumpukan kepada penyelidikan kaedah baharu pengagihan tenaga.

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memetik beliau dalam satu kenyataan sebagai berkata kerajaan Persekutuan telah mengenal pasti Sarawak sebagai tempat untuk melancarkan satelit dan ini ada hubung kait dengan aeroangkasa. 

“Di kampus ini, kita akan melihat bahan mentah yang digunakan dalam penerbangan seperti dron, komponen kapal terbang dan komponen lain yang mesti mempunyai material yang kuat dan ringan, termasuk komposit,” katanya.

Abang Johari yang kini dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Melbourne, Australia berkata kerajaan Sarawak akan berkolaborasi dengan kampus induk Universiti Teknologi Swinburne di Hawthorn, Australia untuk mendapatkan tenaga pengajar bagi membolehkan pusat penyelidikan di Kuching itu beroperasi.

“Saya lihat tenaga pengajarnya ada di kampus utama yang kita boleh kongsi bersama dengan institusi pengajian di Sarawak dalam program perkongsian ilmu. Dari sudut aeroangkasa, mungkin kita boleh terlibat dengan NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan) di Amerika Syarikat,” katanya.

Abang Johari berkata Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan kampus induknya akan mengadakan program pertukaran pelajar di peringkat pengajian doktor falsafah selama 18 bulan, dengan separuh dari tempoh program itu dijalankan di Kuching dan selebihnya di Australia.

Beliau berkata perkongsian ilmu baharu ini penting kerana Sarawak mempunyai kelebihan dengan memiliki tenaga diperbaharui bagi menghasilkan bahan-bahan baharu dan pelajarnya perlu mahir dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk menguasai teknologi baharu ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan