WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tanah Jerlus: Pasukan SAR Guna Pelbagai Usaha Kesan Mangsa

27/08/2024 10:08 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini dalam kejadian Jumaat lepas, menyaksikan pelbagai kaedah digunakan dalam operasi itu yang memasuki hari kelima.

Pasukan SAR hari ini yang melibatkan lebih 115 anggota terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), antaranya melakukan ujian melepaskan botol dari lurang kumbahan berdekatan lokasi kejadian.

Dalam sidang media selepas meninjau operasi SAR serta melawat keluarga mangsa, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata hasil ujian itu mendapati objek berkenaan mengambil masa kira-kira empat jam untuk sampai ke titik akhir (end point) di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam.

Usaha mencari mangsa turut dibantu Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains yang hadir melakukan pemantauan di lokasi kejadian termasuk melakukan imbasan bagi teknik flushing, jetter dan alat pengesan bawah tanah iaitu Radar Pengesan Bawah Tanah (GPR) untuk mencari wanita warga India itu.

Operasi SAR kali ini juga menggunakan teknologi kamera bagi mengesan keberadaan mangsa dan kaedah itu dijalankan oleh JBPM melibatkan dua lurang kumbahan iaitu di Jalan Melayu dan Bulatan Kinabalu dengan menggunakan rod tunjal (push rod) dan kamera 'crawler'.

Bagaimanapun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penggunaan alat rod tunjal dan kamera 'crawler' di lurang satu hingga ke lurang yang terletak di di hadapan Wisma Yakin bagi mengesan mangsa, tidak membuahkan hasil.

Berikutan itu, operasi pencarian diteruskan di kawasan titik akhir di loji Pantai Dalam manakala pencarian di kawasan Jalan Masjid India diperluas sehingga ke kawasan kaki lima jalan berkenaan.

Selain itu, GPR turut digunakan untuk mengesan mangsa dalam operasi SAR sebagai usaha membantu mencari mangsa yang masih hilang.

Alat itu yang digunakan dalam kes tanah runtuh di Batang Kali pada Disember 2022 berfungsi dengan memancarkan gelombang elektromagnetik ke bawah permukaan tanah menerusi pemancar dan mengesan kembali gelombang yang terpantul menggunakan sensor penerima.

Sementara itu, di lokasi titik terakhir iaitu Loji Kumbahan IWK Pantai Dalam, teknik flushing turut dilaksanakan oleh IWK dengan bantuan JBPM dan menurut Pemangku Pengarah JBPM Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat, fokus usaha mencari mangsa hari ini tertumpu di situ.  

Antara kaedah lain yang digunakan sejak semalam ialah mesin jetter atau jet pembetung berkuasa tinggi, untuk memecahkan sisa batuan yang terdapat di lurang di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India, dalam usaha mencari mangsa.

Bukan sahaja kaedah menerusi peralatan tetapi pasukan SAR juga menggunakan bantuan Frankie dan Denti iaitu dua ekor anjing dari Unit Pengesan K9 JBPM, bagi melakukan pengesanan mangsa yang belum ditemukan setakat ini.

Bagi membantu operasi itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi juga telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) memberikan bantuan sokongan teknologi kepada pasukan SAR, walaupun kejadian tanah jerlus berlaku di kawasan seliaan Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL.

Katanya Kementerian Kerja Raya akan sentiasa memberikan kerjasama memandangkan ia adalah kejadian bencana.

Pada Jumaat lepas, wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan di kawasan berkenaan untuk ke sebuah kuil berhampiran sebelum kejadian.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan