WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mahkamah Persekutuan Putuskan Boleh Dengar Semakan Banduan Terima Pengampunan Hukuman Mati

27/08/2024 08:56 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa ia boleh mendengar semakan semula difailkan oleh banduan yang telah diberikan pengampunan bagi hukuman mati.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dalam keputusan majoriti 2-1, memutuskan bahawa mahkamah itu mempunyai kuasa untuk mendengar semakan semula difailkan oleh empat individu iaitu P. Balakrishnan, G. Jiva, warga Thailand Phrueksa Taemchim dan warga Zambia Mailesi Phiri.

Hakim Harmindar Singh dan Datuk Hanipah Farikullah menyumbang kepada majoriti manakala Hakim Datuk Nordin Hassan berbeza pendapat.

Keempat-empat individu itu sebelum ini disabitkan kesalahan mengedar dadah dan dijatuhkan hukuman mati. 

Bagaimanapun Lembaga Pengampunan beberapa negeri memberikan pengampunan kepada mereka dan menggantikan hukuman mati dengan penjara 30 tahun, bermula dari tarikh keputusan lembaga berkenaan.

Susulan itu, tempoh penahanan yang dijalani mereka sebelum itu tidak dikira dalam menentukan jumlah tempoh pemenjaraan.

Pihak penguat kuasa penjara tidak merujuk kes keempat-empat individu itu bagi semakan semula di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) dan Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 kerana mereka telah menerima pengampunan justeru menjadikan mereka tidak layak untuk memohon semakan.

Keempat-empat mereka kemudiannya memohon kepada Mahkamah Persekutuan bagi mengubah keputusan Lembaga Pengampunan negeri.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan ia mempunyai kuasa untuk mendengar permohonan bagi semakan semula dan membenarkan permohonan mereka.

Mahkamah mengenakan penjara 30 tahun bermula dari tarikh tangkap masing-masing, dan Balakrishnan, 47, turut dikenakan 12 sebatan.

Balakrishnan akan dibebaskan daripada penjara selepas menerima sebatan manakala tempoh pemenjaraan Jiva berbaki tiga tahun, Phrueksa dan Mailesi lima tahun. 

Terdahulu, dalam permohonannya, Peguam Datuk N.Sivananthan mewakili Balakrishnan and Jiva, 54, berkata jika permohonan semakan mereka dibenarkan, Balakrishnan akan dibebaskan masing-masing 20 dan 15 tahun lebih awal.

Sementara itu, peguam K.Simon Murali mewakili Phrueksa berhujah bahawa anak guamnya, ibu tunggal berusia 40 tahun, berhak di bawah undang-undang untuk memohon semakan bagi hukuman mati yang dijatuhkan kepadanya. 

Bagi Mailesi Phiri, 47, peguamnya Abdul Rashid Ismail berhujah mengeluarkan anak guamnya daripada proses semakan melanggar haknya untuk hidup bebas di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Balakrishnan diberikan pengampunan oleh Lembaga Pengampunan Kedah pada 29 Mac, 2022; Jiva dan Mailesi menerima pengampunan daripada Lembaga Pengampunan Pulau Pinang masing-masing pada 13 Jun 2022 dan 13 Disember 2021, manakala Phrueksa diberikan pengampunan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 21 Sept 2017. 

Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi bagaimanapun berhujah keputusan Lembaga Pengampunan tidak boleh disemak semula oleh Mahkamah Persekutuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan