WILAYAH - SARAWAK > BERITA

USM, Universiti Pertama Terima Hak Akses Imej Digital Surat Light

28/08/2024 07:10 PM

GEORGE TOWN, 28 Ogos (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Penyelidikan Dasar dan Perpustakaan Hamzah Sendut melakar sejarah apabila menjadi universiti pertama yang diberikan hak mengakses imej digital surat-surat Francis Light oleh School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.

USM dalam kenyataan memaklumkan persetujuan itu dicapai menerusi memorandum perjanjian Loan of Light Letters yang ditandatangani pada September 2018 yang memberikan akses kepada imej digital surat-surat Light untuk tatapan penyelidik, sarjana dan orang awam secara dalam talian. 

Surat-surat berkenaan yang diletakkan di bawah Koleksi Warkah-Warkah Kepulauan Melayu 1768-1794, diklasifikasikan kepada surat yang dikirim kepada Light, surat yang dikirim kepada Scott iaitu rakan niaga Light, nota, catatan, draf surat dan salinan yang dikirim oleh Light, surat raja-raja dan pembesar serta dokumen lain seperti bil, resit, petisyen dan kontrak.

“Melalui perjanjian tersebut USM mendapat hak simpanan imej tersebut selama mana perjanjian tidak dilanggar oleh kedua-dua belah pihak dan akan diperbaharui setiap tahun. 

"Koleksi Warkah-Warkah Kepulauan Melayu 1768-1794 merupakan koleksi manuskrip Melayu terbesar di dunia yang mengandungi surat-surat berjumlah 1,200 pucuk surat tersimpan dalam 11 jilid," menurut kenyataan itu.

Menurut USM, koleksi surat termasuk mengandungi surat dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Selangor, Perak, Terengganu, Kelantan, Borneo, Acheh, Asahan, Batu Bahara, Siak, Palembang dan Pontianak.

Sementara itu, Naib Canselor USM Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam kenyataan sama berkata hak eksklusif yang diberikan kepada Perpustakaan USM itu memberikan peluang besar kepada penyelidik dalam bidang Ilmu Kemanusiaan untuk menjalankan kajian-kajian baharu tentang sejarah tanah air.

"Surat-surat Light amat berpotensi untuk dikaji dari pelbagai bidang dan membantu penyelidikan terutamanya dalam bidang sejarah nusantara dan akses ini memberikan banyak manfaat kepada dunia akademik khususnya dalam meningkatkan ketersediaan serta kualiti sumber sejarah untuk penyelidik dan sarjana selain menyokong usaha untuk memelihara dan memahami warisan sejarah yang berharga,” katanya.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Koleksi Warkah-Warkah Kepulauan Melayu 1768-1794 kepada Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berlangsung di Istana Anak Bukit, Kedah. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan