WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Loga Bala Sah Presiden MyPPP Baharu

01/09/2024 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Datuk Dr J. Loga Bala Mohan diumum sebagai Presiden Parti Progresif Rakyat (MyPPP) baharu hari ini selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan jawatan utama parti itu.

Setiausaha Agung MyPPP Datuk Inder Singh Beant Singh berkata pemilihan Loga Bala yang sebelum ini memangku jawatan presiden itu disokong sebulat suara perwakilan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-71 parti itu.

“Pada AGM kali ini kita turut mengusulkan antaranya meminda perlembagaan parti, penstrukturan semula jawatan Naib Presiden Kanan yang ditukar nama kepada Timbalan Presiden. 

“… ini juga termasuk mencadangkan penjenamaan semula logo parti serta akan kembali dikenali sebagai PPP, selepas pindaan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS),” katanya kepada pemberita selepas AGM itu hari ini.

Loga Bala menggantikan mendiang Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor pada 17 Nov 2023. 

Sebelum ini Loga Bala yang merupakan naib presiden kanan parti itu memangku jawatan presiden berdasarkan Perkara 9.10 perlembagaan parti yang menetapkan bahawa naib presiden kanan akan bertindak sebagai presiden sekiranya jawatan itu kosong.

Inder Singh berkata kerusi Timbalan Presiden MyPPP pula kini diisi Datuk Mohan A Kandasamy yang sebelum ini memangku jawatan Naib Presiden Kanan.

MyPPP (dahulu dikenali sebagai PPP) yang ditubuhkan pada 1953, pada masa ini mempunyai 320,000 keahlian di 119 bahagian dan 3,119 cawangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan