WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pinda Peraturan Mesyuarat Agar Lebih Menyeluruh, Libatkan Media Sosial - Speaker DUN Sarawak

09/09/2024 06:02 PM

KUCHING, 9 Sept (Bernama) -- Peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dipinda agar lebih menyeluruh serta meliputi elemen media sosial, kata Yang Dipertua DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar. 

Beliau berkata ia susulan kenyataan dikeluarkan ahli-ahli dewan di platform media sosial yang mengkritik keputusan Speaker, tidak termaktub dalam mana-mana peraturan mesyuarat. 

“Jadi ini merupakan fenomena baharu.. Jadi kita perlu bincang bersama semua Speaker dan mendengar pendapat mereka, semuanya untuk meningkatkan demokrasi berparlimen,” katanya.

Mohamad Asfia berkata demikian dalam sidang media mengenai Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2024 di Bangunan DUN di sini hari ini. 

Beliau berkata isu melibatkan institusi perundangan itu menjadi antara inti pati perbincangan pada persidangan yang bakal berlangsung Khamis dan Jumaat ini di sebuah hotel di Kuching. 

“Kita nak tahu bagaimana Parlimen atau Dewan dapat menghadapi cabaran dan fenomena baharu yang tercetus tanpa diduga menerusi kemajuan media sosial. Menerusi persidangan ini diharapkan kita dapat tingkatkan lagi standard domokrasi berparlimen sebab kita tidak mahu keadaan dewan kucar-kacir,” katanya.

Persidangan yang bertujuan memperkasakan peranan institusi perundangan itu menghimpunkan 43 delegasi terdiri daripada Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Negara, Dewan Rakyat serta DUN seluruh Malaysia dan Setiausaha Dewan masing-masing. 

Ia akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Jumaat di Dewan Santapan, Bangunan DUN Sarawak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan