WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ACT 2024: Speedy Tigers Tewas 2-4 Kepada China

09/09/2024 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Skuad hoki lelaki kebangsaan tumpas kepada China 2-4 dalam aksi kedua liga sepusingan atau round robin saingan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, Inner Mongolia, China hari ini.

Pada perlawanan berlangsung di Moqi itu, menyaksikan gawang Malaysia bolos seawal minit kesembilan permainan menerusi jaringan sudut penalti Gao Jiesheng sebelum Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menyamakan kedudukan lima minit kemudian (14’). 

China yang berada di ranking ke-23 dunia terus garang menguasai padang dengan Jiesheng menggandakan jaringan pada suku ketiga perlawanan (32’) dan rakan sepasukannya, Lin Changliang menjarakkan kedudukan dengan Speedy Tigers lapan minit kemudian (40’) dengan meledak jaringan padang. 

Tersentak dengan jaringan berturut-turut itu, anak buah Sarjit Singh bangkit mengasak kubu China hingga penyerang sensasi Faizal Saari berjaya melakukan satu pukulan sudut penalti pada minit ke-50. 

Impian kebangkitan Malaysia namun dimusnahkan apabila Chao Jieming menambah kedukaan buat pasukan negara enam minit kemudian (56’) sekali gus menyaksikan tuan rumah menang bergaya perlawanan berkenaan. 

"Ini bukan keputusan yang diinginkan. Ada beberapa kesilapan dilakukan pemain hingga membenarkan pemain lawan menjaringkan gol padang dan pukulan sudut penalti (PC). Kami juga gagal memanfaatkan beberapa peluang yang ada untuk menjaringkan gol serta tidak klinikal dalam kawasan ‘D’.

“Kami perlu mengambil tanggungjawab kerana gagal memanfaatkan peluang menjaringkan gol padang dan PC. Dari segi penguasaan permainan kami bermain lebih baik tetapi dalam perlawanan jumlah jaringan menjadi penentu bagi kedua-dua pasukan," kata Sarjit menerusi kenyataan dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media malam ini. 

Sarjit memaklumkan barisan kejurulatihan akan memastikan pemain mendapat rehat mencukupi bagi berdepan India untuk perlawanan ketiga saingan itu pada Rabu ini (11 Sept) dan berusaha keras agar berada dalam kelompok empat terbaik dengan persaingan yang dianggap masih terbuka. 

Sebagai rekod pada edisi tahun lepas di Chennai India, Speedy Tigers muncul selaku naib juara selepas tewas tipis 3-4 kepada India.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan