WILAYAH - UTARA > BERITA

Pihak Berkepentingan Pelancongan Diminta Tingkatkan Usaha Jayakan VM2026

09/09/2024 11:38 PM

KANGAR, 9 Sept (Bernama) -- Pihak berkepentingan dalam industri pelancongan diminta untuk meningkatkan usaha menjayakan kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah perkara itu  penting, dalam usaha mempertingkatkan ekonomi Malaysia dan menjadikan negara sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

“Dengan pelaksanaan Tahun Melawat Perlis 2024-2025, kami memulakan perjalanan yang penting menandakan langkah awal menuju Tahun Melawat Malaysia 2026,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah sedemikian kepada menyempurnakan perasmian Persidangan Proposed ASEAN China Heritage Dimension of National Arts (DNA) Initiative 2024, di sini malam ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir bersama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah dengan rasa gembira dan bangga, baginda meletakkan tanggungjawab untuk memperkenalkan keindahan bumi Perlis di Utara Malaysia yang aman damai dan penuh dengan keajaiban tersembunyi, pada pihak yang berkemampuan iaitu DNA Warisan ASEAN China.

“Terokai Perlis untuk menikmati keindahan Perlis yang menawan dengan melawat Perkampungan Nelayan yang penuh warna-warni di Seberang Ramai Kuala Perlis, Muzium Marhum Kota Kayang, Batik Inderawasih dan nikmati pelbagai hidangan makanan Perlis yang lazat di restoran dan kafe kami yang menarik,” titah baginda.

Persidangan  itu dari 8 hingga 14 Sept di sini, melibatkan penyertaan peserta Indonesia, Vietnam, Laos, Brunei, Thailand, Myanmar, Filipina, Kemboja, Singapura dan China.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan