WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sabah Antara Enam Penyumbang Utama KDNK Malaysia Bagi 2023 - Hajiji 

10/09/2024 04:58 PM

KOTA KINABALU, 10 Sept (Bernama) -- Kejayaan Sabah mencatat perolehan hasil berjumlah RM7 bilion pada tahun lepas telah membolehkan negeri itu muncul antara enam penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2023, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata angka diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai lepas menunjukkan Sabah telah menyumbang sebanyak 5.5 peratus kepada KDNK 2023 dan meletakkannya seiring dengan Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak serta Pulau Pinang yang secara gabungan menyumbang 73 peratus kepada ekonomi negara.

“Pada tahun lepas misalnya, kita mencatat pelaburan sebanyak RM11.34 bilion iaitu dalam kelompok ketujuh tertinggi di Malaysia dengan 13.3 peratus diraih daripada sektor pembuatan," katanya pada Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia Kelapan (ESTCON) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, hari ini.

Sabah buat pertama kalinya menjadi tuan rumah bagi acara anjuran Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Petronas yang menyaksikan penyertaan lebih 1,000 orang dari 25 negara.

Dalam pada itu, Hajiji turut menekankan kepentingan bagi Sabah mempunyai institusi pengajian tinggi berkualiti untuk menyediakan platform kelayakan berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serba cemerlang untuk pelajar Sabah.

Ini sejajar dengan langkah kerajaan negeri menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar sekolah mendaftar dalam aliran sains menjelang tahun depan.

“Adalah penting bagi sebahagian besar pelajar di Sabah berada dalam kelompok pendidikan STEM.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah telah melaksanakan Pelan Strategik 2022-2025 yang menjadi panduan bagi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasa ekosistem sains, teknologi, inovasi dan ekonomi di negeri ini," katanya.

Menyentuh inisiatif pendigitalan, beliau berkata Sabah dalam usaha mempercepat transformasi digital di negeri itu.

“Pada November tahun lepas, kami telah memeterai satu perjanjian dengan Huawei Technologies Malaysia di ibu pejabat Huawei di Shenzhen, China bagi meraih manfaat inovasi teknologi, memupuk pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan lagi perkhidmatan awam," katanya.

Pada masa sama, kata Hajiji, langkah kolaboratif itu akan turut merangkumi pelaksanaan perkhidmatan digital dengan ketersediaan kecerdasan buatan (AI) dan berteraskan data.

Di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya, kerajaan negeri telah melancarkan Program Rintis Digital Internet Benda 2022 yang menjadi sebahagian daripada pembangunan pelan hala tuju dan menyediakan persekitaran kondusif untuk usahawan dan inovator digital menghasilkan produk serta menguji kebolehlaksanaannya.

Beliau berkata kerajaan negeri itu turut melihat kuasa transformatif teknologi digital dalam sektor-sektor seperti pertanian, perlombongan dan pelancongan selain Sabah turut membuat banyak pelaburan dalam sektor tenaga.

“Walaupun minyak dan gas memberi aliran pendapatan yang penting untuk negeri ini, tumpuan turut diberikan kepada tenaga boleh baharu seperti teknologi solar dan penyimpanan, hidro, geotermal serta peluang berkaitan pasaran karbon di Sabah," katanya.

Hajiji turut memberi jaminan Sabah akan terus membangunkan infrastruktur tenaga penting selain menguruskan sumber bagi mengekalkan pertumbuhan.

"Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah dan Pelan Induk 2040 yang saya lancarkan pada tahun lepas, akan menjadi garis panduan bagi masa depan.

“Namun, kejayaannya memerlukan sokongan penuh pihak berkepentingan awam dan swasta bagi mengemudi Sabah ke arah masa depan lebih hijau dan mampan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan