WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Haruman Kopi Xinzhai Pemangkin Ekopelancongan Lujiang

15/09/2024 10:21 AM


From Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi

Haruman kopi dan kesegaran udara bersih melengkapi kedamaian suasana di Xinzhai yang terkenal dengan julukan perkampungan kopi terbaik di China.

Berpeluang mengikuti program Kenali Baoshan anjuran China Media Group (CMG) baru-baru ini, penulis menyaksikan bagaimana bijian kopi kecil yang menjadi khazanah alam di kampung itu diproses dan kemudian dijual di pasaran. 

Peribahasa jauh perjalanan, luas pemandangan menerjah minda penulis sejurus melihat itinerari  program yang dikongsikan penterjemah bagi meneroka keunikan dan keistimewaan kampung kopi Xinzhai yang terletak di metropolitan Baoshan, wilayah Yunnan, China.

 

DAMAINYA PEKAN LUJIANG, MANFAAT TEKNOLOGI HIJAU

Setibanya penulis di pekan Lujiang, timbul satu kedamaian kerana tidak seperti kebanyakan kawasan lain di China, pekan ini tidak terlalu sibuk.

Memanfaatkan teknologi hijau, pekan ini  menyaksikan penggunaan kenderaan elektrik (EV) secara meluas, menjadikannya sebuah pekan mesra alam dengan pencemaran karbon monoksida minimum.

pic-2

Penulis dapati pekan ini juga memenuhi keperluan pelancong kerana dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk kedai serbaneka, kedai barangan elektronik, farmasi, restoran, kios serta pasar kecil.

Bagi pelancong beragama Islam, tidak perlu bimbang tentang makanan halal kerana ada restoran yang menyajikan hidangan selaras syariat Islam.

Antaranya, restoran Qīngzhēn yang mempunyai pensijilan halal, dan paling penting menyajikan makanan cita rasa tempatan yang wajib dikunjungi jika anda berhasrat melancong ke pekan Lujiang.

 

MENEROKA KHAZANAH KAMPUNG KOPI NO. 1 DI CHINA

Topografi Kampung Xinzhai yang terletak di lereng pergunungan Gaoligong menjadikan petempatan itu kawasan strategik bagi penanaman kopi khususnya, serta beberapa tanaman lain, yang menyumbang kepada sosioekonomi penduduk setempat.

Setibanya di Kampung Xinzhai, penulis dibawa mengelilingi perkampungan itu bagi melihat kawasan penanaman kopi.

pic-3

Di situ, penulis melihat bagaimana pemprosesan biji kopi dilakukan, bermula daripada buah yang dipetik, hingga ke pembungkusan produk akhir, semuanya dilakukan di kawasan ladang berkenaan.

Ketelitian dan kecekapan penduduk ketika melakukan setiap proses jelas menunjukkan komitmen ketua kampung, Wang Jiawei dalam memacu perkembangan ekonomi setempat. 

Lebih mengujakan apabila penulis dibawa ke Hoolook Coffee Villa, sebuah penginapan mewah dikendalikan oleh Wang bersama-sama penduduk tempatan, yang dilihat telah mengangkat nilai komersial Kampung Xinzhai sebagai antara destinasi pelancongan mesra alam di China.

 

“ALANG-ALANG MENYELUK PEKASAM”

Bak kata orang, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, amat bertepatan dengan usaha inovatif yang dilakukan oleh Wang dalam memajukan Kampung Xinzhai, termasuk mendapatkan nasihat pakar pertanian bagi memajukan sektor pertanian, khususnya penanaman kopi.

Bantuan yang disalurkan oleh pentadbiran China juga membolehkan kawasan pertanian di kampung berkenaan dibangunkan mengikut altitud. 

Sebagai contoh, tanaman kopi diusahakan pada ketinggian 1,000 meter ke atas, manakala sayur-sayuran hijau pula ditanam pada altitud 800 hingga 1,000 meter, dan buah-buahan tropika pada kedudukan 600 hingga 800 meter.

pic-4

Tidak hanya memberi tumpuan pada  usaha pembangunan ekosistem pertanian di Kampung Xinzhai, Wang juga mengutamakan aspek pendidikan bagi memastikan generasi muda di kampungnya mencapai kejayaan dan cita-cita sekali gus mengharumkan nama kampung.

Antara yang dilakukan ialah pembangunan sebuah perpustakaan desa melalui kerjasama dengan Universiti Shenzhen sebagai platform bantuan pendidikan kepada generasi muda kampung tersebut. 

Walaupun cuma empat hari di Kampung Xinzhai, penulis berasakan tempat itu amat sesuai dikunjungi oleh penggemar dan pencinta seni kopi, terutama dari Malaysia yang menyaksikan peningkatan trend minum kopi.  

Juga, tidak mustahil suatu hari nanti produk kopi dari Kampung Xinzhai ini menembusi pasaran Malaysia, mengambil kira hubungan perdagangan yang baik antara Kuala Lumpur dan Beijing.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan