WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ALPS Global Sasar Kumpul US$100 Juta Daripada Penyenaraian Di Nasdaq

15/09/2024 10:15 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) – Kumpulan bioteknologi bersepadu ALPS Global Holding Bhd, yang bakal disenaraikan di Nasdaq pada suku keempat 2024, menyasar mengumpul US$100 juta daripada penyenaraian tersebut untuk membiayai pengembangan, kajian klinikal dan kilang pembuatannya.

Syarikat itu mempunyai nilai perusahaan kira-kira US$1.6 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Dr Tham Seng Kong berkata Nasdaq, bursa saham utama di Amerika Syarikat (AS) adalah pasaran terbuka yang sangat mesra kepada syarikat bioteknologi.

Tham, yang juga ketua saintis penyelidikan syarikat berkata kumpulan itu ingin meneroka peluang untuk bergabung dan bekerjasama dengan syarikat bioteknologi yang berpotensi di sana.

“Kebimbangan terhadap kemelesetan (di AS) pasti akan memberi kesan besar kepada kita dan dunia. Bagaimanapun, saya yakin pasaran akan pulih tidak lama lagi dengan impak minimum terhadap penyenaraian kami,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata projek hab perindustrian bioteknologi yang dirancangnya dikenali sebagai BioValley dan usaha pembangunan vaksin akan menjadi tumpuan utama mereka selepas penyenaraian.

“Kami telahpun merancang untuk ujian klinikal pertama vaksin kami. Selain itu, produk kami seperti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan kit ujian semakin hampir untuk dikomersialkan, dan kami sudah bersedia untuk melaksanakan rancangan ini,” katanya.

Pada 17 Julai, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata penyenaraian ALPS di Nasdaq menunjukkan keupayaan Malaysia melahirkan syarikat berteknologi tinggi yang mampu bersaing di peringkat global seterusnya meningkatkan profil negara di persada antarabangsa.

“Ini adalah satu pencapaian yang sangat tinggi. Syarikat ini disokong oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation),  agensi kerajaan di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” kata Chang sambil menambah MOSTI berharap akan wujud lebih banyak lagi syarikat bio-unicorn seperti ini.

 

Aset BioValley dijangka sumbang RM1 bilion kepada KDNK

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan hab perindustrian bioteknologi di satu lokasi. BioValley di Johor adalah penyelesaiannya.

“Ia akan memudahkan pengurusan dan penyelarasan pelbagai aspek industri, serupa dengan hab bioteknologi China,” kata Tham.

Aset di BioValley diunjur menyumbang RM1 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

“Kami percaya ini akan menjadi industri utama dalam dekad akan datang, itulah sebab mengapa kami memerlukan hab industri untuknya,” katanya.

Beliau berkata pembinaannya dijangka bermula pada 2025 dan beroperasi pada 2026.

“Ini adalah pelaburan jangka panjang. Kami menyasar mencapai pulangan dalam tempoh tiga tahun selepas operasi bermula dan memerlukan kepakaran yang pelbagai dalam bioteknologi,” katanya. 

Tham menjangkakan penubuhan BioValley akan mengukuhkan ekosistem bioteknologi negara dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Pembangunan itu dijangka mengurangkan pergantungan kepada AS dan China seterusnya membolehkan Malaysia memenuhi keperluan sendiri untuk ubatan, produj terapi dan produk lain.

Selain menyepadukan BioValley ke dalam pelancongan perubatan, beliau berkata sebab utama pilihan lokasi di Johor adalah untuk menarik kumpulan bakat dari Singapura dan bekerjasama dengan mereka.

Beliau berkata Singapura telah lama membangunkan industri bioteknologinya dan kini telah mencapai tahap matang.

“Kami menyasar untuk menarik kumpulan bakatnya yang berpengalaman yang mungkin ingin kembali ke Malaysia. Ramai daripada mereka (rakyat Malaysia) telah bekerja di Singapura bertahun-tahun lamanya dan kami ingin memanfaatkan kumpulan bakat ini,” katanya.

Menurut Tham, BioValley dijangka mencipta sehingga 10,000 peluang pekerjaan, termasuk 1,000 jawatan untuk saintis.

Pada Mac lepas, ALPS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan JLand Group Sdn Bhd, cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corp, untuk menubuhkan BioValley.

Melalui kerjasama itu, JLand akan membangunkan hab bioteknologi dalam kawasan Ibrahim Technopolis (IBTEC) seluas 2,950 hektar manakala ALPS akan menjadi penyewa dan pengendali utama.

BioValley dijangka menjana nilai pembangunan kasar kira-kira RM980 juta dan akan melengkapkan kampus pusat data sedia ada, hab logistik dan pembuatan serta hab kecerdasan buatan IBTEC.

Sementara itu, Tham berkata ALPS merancang untuk menembusi pasaran Timur Tengah memandangkan sektor bioteknologi yang sedang pesat membangun di rantau itu dan peningkatan permintaan terhadap kepakaran dalam bidang ini.

“Kami sudah mula mengadakan perbincangan dengan syarikat di Timur Tengah. Wakil tempatan kami aktif terlibat dalam rundingan dan mengusahakan pelbagai rancangan perniagaan,” katanya.

 

Usaha Bersama ALPS dan Bioeconomy Corporation

Sidang kemuncak dan pameran National Bioeconomy Showcase (NBiOSHOWCASE) 2024 pada 17-18 Julai juga menyaksikan ALPS dan PT Biotis Pharmaceuticals Indonesia menandatangani MoU untuk bekerjasama dalam pembuatan vaksin.

Majlis tersebut dianjurkan oleh MOSTI dengan Bioeconomy Corporation sebagai penganjur utama.

Pada NBiOSHOWCASE 2024, ALPS, yang dibantu oleh Bioeconomy Corporation, diiktiraf sebagai syarikat bioteknologi pertama Malaysia yang mencapai status unicorn ( syarikat unicorn merujuk kepada syarikat pemula niaga yang memiliki nilai keseluruhan melebihi US$1 bilion). 

“Sebagai entiti sektor swasta, kami menyasarkan untuk bekerjasama dengan Bioeconomy Corporation kerana ini akan membolehkan kami berhubung dengan rangkaian saintis dan syarikat yang lebih luas, membolehkan kami membina industri bersama-sama,” kata Tham.

Bioeconomy Corporation telah menyokong dan membantu lebih 520 syarikat bioteknologi dan berasaskan bio, termasuk syarikat BioNexus dan syarikat Accelerator berasaskan Bio dan lain-lain yang terlibat dalam projek bioteknologi berimpak tinggi di Malaysia.

Syarikat dalam industri bioteknologi mencapai pelaburan yang diluluskan terkumpul berjumlah RM14.3 bilion di Malaysia, menyumbang RM37.5 bilion kepada KDNK negara dan berjaya mewujudkan hampir 17,000 pekerjaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan