WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Minggu Masakan Dan Budaya Malaysia Dilancarkan Di Hanoi

15/09/2024 01:11 PM

HANOI, 15 Sept (Bernama-VNA) -- Minggu Masakan dan Budaya Malaysia bertemakan "Taste of Malaysia," berlangsung di Hotel Daewoo Hanoi mulai 12 September sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia (31 Ogos) dan Hari Malaysia (16 September).

"Taste of Malaysia" menawarkan para tetamu satu perjalanan menarik menerusi masakan dan budaya Malaysia, mempamerkan cita rasa dan tradisi unik negara Asia Tenggara itu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Berucap pada majlis itu, Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai menekankan kepentingan masakan Malaysia, dengan menyatakan bahawa ia mencerminkan kepelbagaian budaya di negara itu.

“Ia adalah cara kami berkongsi budaya Malaysia yang pelbagai, dan kami berbangga diberi peluang untuk berkongsi dengan rakan-rakan Vietnam kami hari ini,” katanya.

Hidangan istimewa seperti Nasi Lemak dan Teh Tarik disediakan oleh cef terkenal Malaysia, Azlan Juri untuk memastikan pengalaman menjamu selera yang asli.

Para tetamu yang menghadiri majlis pelancaran juga disajikan persembahan tarian rakyat istimewa oleh kumpulan kebudayaan dari Perak serta pameran seni batik tradisional.

Acara ini menawarkan pengalaman asli kepada para pengunjung mengenai masakan dan warisan budaya negara itu.

"Taste of Malaysia" adalah sebahagian daripada pertukaran budaya antara Vietnam dan Malaysia.

Berkongsi dengan wartawan VNA, Tan Yang menegaskan kepentingan hubungan budaya dua negara dan pertukaran antara rakyat.

“Pertukaran melalui budaya, tarian tradisional serta masakan akan menjadikan hubungan dua hala antara Malaysia dan Vietnam lebih erat,” tegas Duta Besar itu.

Acara "Taste of Malaysia" akan berlangsung sehingga 16 September di Hotel Daewoo Hanoi.

-- BERNAMA-VNA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan