WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KKR Kongsi Pengalaman Syarikat Salik Guna Sistem Tol MLFF

17/09/2024 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Alexander Nanta Linggi mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pengurusan tertinggi Salik Company PJSC (Salik) serta meninjau pelaksanaan sistem tol elektronik Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) di satu daripada gantri tol di Dubai hari ini.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Nanta berkata perbincangan dengan syarikat Salik yang telah melaksanakan sistem tol elektronik MLFF sejak 1 Julai 2007 menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), bagi berkongsi pengalaman dari segi pengoperasian, penguatkuasaan dan penggunaan teknologi tersebut.

“Antara inisiatif Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) yang sedang dikaji di Malaysia ialah MLFF. Walaupun inisiatif ini kerap diperbincangkan apabila berlakunya kesesakan di lebuh raya, proses untuk merealisasikan pelaksanaannya bukan satu urusan yang mudah.

“Sehubungan itu, saya telah mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pengurusan tertinggi Salik Company PJSC semasa lawatan kerja rasmi saya bagi menghadiri Kongres Dunia Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) ke-30 di Dubai yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Jalan Raya dan Pengangkutan (RTA) Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 16 Sept lepas,” katanya.

Beliau berkata sesi libat urus itu mencerminkan komitmen padu kerajaan Malaysia dalam menentukan hala tuju kerajaan ke arah pengadaptasian ITS dalam sistem kutipan tol negara.

Nanta berkata usaha ini juga menjadi satu daripada agenda utama di bawah program MYJalan dalam melestarikan jalinan infrastruktur lebuh raya negara bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan pengguna.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan