WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pengerusi Alliance Bank, Tan Sri Ahmad Mohd Don Meninggal Dunia

17/09/2024 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd telah mengumumkan pemergian pengerusinya, Tan Sri Ahmad Mohd Don, 77 tahun.

Bank itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata Ahmad, yang merupakan bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), telah menjadi pengerusi bank itu sejak 1 Feb 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Alliance Bank, Kelle Kam berkata Ahmad telah memberi impak yang besar kepada bank  tersebut, ia membawa perubahan positif sehingga mengukuhkan kedudukan kumpulan perbankan itu di Malaysia.

“Kami amat sedih dengan pemergiannya. Beliau adalah seorang tokoh yang sangat terkenal selain disegani dalam masyarakat serta industri perbankan dan kewangan.

“Ahli lembaga pengarah serta pasukan pengurusan kami telah mendapat inspirasi melalui kepimpinannya, dan Alliance Bank amat bertuah kerana diterajui oleh beliau semasa kami memulakan laluan pertumbuhan yang mantap.

“Dalam meneruskan kerja serta legasinya yang hebat, lembaga pengarah telah melaksanakan pelan yang diperlukan untuk penggantian. Bank akan membuat pengumuman lanjut mengenai kepimpinan lembaga pengarah kami apabila sesuai,” kata Kam. 

Ahmad memulakan kerjayanya sebagai akauntan bagi kerajaan Malaysia pada 1972 sebelum berpindah ke sektor swasta, yang mana beliau bekerja dalam pelbagai kapasiti sebelum menyertai Permodalan Nasional Bhd, beliau juga turut terlibat dalam perancangan dan pelancaran Skim Amanah Saham Nasional pada 1981. 

Beliau menyertai Malayan Banking Bhd pada 1982 dan kemudiannya berkhidmat sebagai pengarah urusan kumpulan dan ketua pengarah eksekutifnya dari 1991 hingga 1994 sebelum menyertai semula kerajaan sebagai gabenor BNM mulai Mei 1994 hingga Ogos 1998.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan