WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Cadang Perluas Pengiktirafan Sijil Halal JAKIM Ke Lebih Banyak Negara -- Ahmad Zahid

17/09/2024 10:08 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Malaysia bercadang untuk memperluaskan pengiktirafan sijil Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke lebih banyak negara menerusi kerjasama diplomasi Halal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini di peringkat global terdapat 88 buah negara yang telah mengiktiraf sijil Halal JAKIM.

Beliau berkata terdapat juga cadangan daripada beberapa negara-negara untuk menempatkan kilang mereka di Malaysia bagi memperoleh sijil Halal JAKIM dan kemudiannya mengeksport produk mereka ke seluruh dunia.

“Ini akan memberikan lebih keuntungan kepada Malaysia dari segi penambahan nilai eksport, peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi daripada syarikat terbabit.

"Terdapat negara-negara yang masih mahukan sijil (Halal) JAKIM, jadi kita menjemput syarikat-syarikat itu untuk membuat pelaburan di Malaysia," katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) 2024 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata semasa kunjungan beliau ke China baru-baru ini hasil daripada perbincangan meja bulat dengan syarikat-syarikat terdapat permintaan untuk menggunakan logo (Halal) JAKIM sebagai lambang untuk pasaran antarabangsa kerana ia diterima dan dipercayai di seluruh dunia.

"Jadi, Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) perlu berkerjasama dengan JAKIM dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) supaya syarikat-syarikat itu diberikan kemudahan untuk melabur di sini dan mengambil pekerja tempatan menjadi ahli profesional serta teknikal bagi pengeluaran produk berkenaan.

"Saya juga telah mengkoordinasikan dengan kerajaan negeri supaya menyediakan tanah untuk dibeli atau disewa bagi pembinaan kilang," katanya.

WHBC 2024 yang diadakan bersempena dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 adalah untuk memupuk dialog dan kerjasama yang akan memacu inovasi dan pertumbuhan dalam ekonomi Halal yang semakin berkembang.  

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata persidangan itu bertujuan untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pemikiran dalam industri Halal dan mempercepatkan kerjasama yang memberi impak dalam kalangan pemegang kepentingan Halal.

"Kami menjangkakan pertukaran idea dan strategi yang dinamik dengan lebih 500 tetamu terhormat, termasuk duta, pegawai kerajaan, pemimpin perniagaan, persatuan perdagangan dan wakil akademik," katanya dalam ucapan beliau pada WHBC.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan