WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerjasama Masa Depan Antara Kyrgyzstan Dan Malaysia: Pandangan Duta Malaysia

17/09/2024 10:11 PM

BISHKEK, 17 Sept (Bernama-Kabar) -- Malaysia berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan Kyrgyzstan dalam bidang industri halal serta berkongsi pengalaman dalam pembangunan pelancongan dan sistem pendidikan.

Dalam temu bual dengan Agensi Berita Kabar, Duta Besar Malaysia ke Kyrgyzstan Ilham Tuah Illias bercakap mengenai rancangan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala antara Kyrgyzstan dan Malaysia.

Duta menyatakan bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk mengembangkan kerjasama perdagangan dan hubungan pendidikan. Mengenai pendidikan, beliau berkata kemungkinan pembukaan Universiti Malaya di Kyrgyzstan telah dibincangkan sebelum ini, semasa lawatan Ketua Kabinet Kyrgyzstan Akylbek Zhaparov ke Malaysia, yang akan memberi peluang kepada pelajar Kyrgyzstan untuk belajar dan meningkatkan bahasa Inggeris mereka.

Mengenai perkembangan pelancongan, Ilham Tuah berkata Malaysia ingin melihat lebih ramai pelancong dari Kyrgyzstan, memandangkan ia adalah negara tanpa laut dan penduduk Asia Tengah menyukai pantai. Beliau juga menambah bahawa syarikat penerbangan Malaysia merancang untuk membuka penerbangan terus dari Malaysia ke Kyrgyzstan.

Duta itu berkata perdagangan antara kedua-dua negara mencecah US$35 juta tahun lepas.

Diplomat itu menyatakan bahawa mereka mempromosikan sistem halal dan membantu pihak Kyrgyzstan mendapatkan pensijilan halal dan memperakui produknya untuk dihantar ke pasaran ASEAN dan pasaran lain di seluruh dunia. Beliau menegaskan bahawa pemeteraian memorandum persefahaman dijangka akan ditandatangani.

Ilham Tuah berkata sebagai Duta Besar Malaysia yang baharu ke Kyrgyzstan, beliau telah mengenal pasti perkara berikut sebagai bidang keutamaan: pembangunan piawaian halal, pelancongan, sistem pendidikan, ziarah ke Makkah dan kawasan lain.

Bercakap mengenai pengerusian Malaysia dalam ASEAN pada 2025, duta itu berkata dalam tempoh pengerusiannya, Malaysia akan mempromosikan budaya, perdagangan dan pendidikan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata terdapat banyak perkara yang boleh ASEAN bantu Asia Tengah dan terdapat banyak bidang yang boleh diberi perhatian.

Berkongsi tanggapannya tentang Kyrgyzstan, budaya dan tradisinya, Ilham Tuah berkata melalui interaksi antara rakyat, Malaysia boleh belajar tentang budaya dan tradisi Kyrgyzstan.

Duta itu berkata beliau berpeluang mendengar daripada menteri yang mengiringi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatannya ke Kyrgyzstan pada Mei - betapa kagumnya mereka dengan peluang kebudayaan dan pelancongan Kyrgyzstan, alam semula jadi yang indah dan landskap yang memukau.

Sebagai penutup, Duta Besar mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Kyrgyzstan, dan melahirkan harapan agar kerjasama antara Malaysia dan Kyrgyzstan akan berjaya dan matlamat bersama akan tercapai.

-- BERNAMA-KABAR

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan