WILAYAH - SELATAN > BERITA

PRK Mahkota: Berpantang, Uzur Bukan Halangan Tunai Tanggungjawab

28/09/2024 02:49 PM

KLUANG, 28 Sept (Bernama) -- Walaupun baru sebulan melahirkan cahaya mata sulung, pengundi muda Nur Syafiqah Azani tetap bersemangat keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Nur Syafiqah, 19, yang berasal dari Sarawak berkata dia tidak mahu ketinggalan untuk mengundi kerana PRK itu merupakan peluang pertama untuk beliau berbuat demikian, menyebabkan beliau dan suami bertolak awal pagi dari rumah keluarga di Johor Bahru. 

"Kami bertolak 4 pagi tadi. Sejujurnya gemuruh juga tetapi semuanya berjalan lancar dan petugas banyak membantu. Saya tidak mahu ketinggalan mengundi kerana saya mahu memilih wakil rakyat yang boleh membantu penduduk," katanya.

Nur Syafiqah yang ditemui di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di sini berkata beliau berpindah ke Kluang pada 2016 kerana mengikut ibunya yang bekerja di hospital. 

Turut tidak ketinggalan menunaikan hak sebagai pemilih ialah warga emas Ng Kok Kiang, 76, yang hadir ke pusat mengundi dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing bersama pemandu yang dikenalinya.

"Saya telefon dia dan beritahu mesti bawa saya pergi pusat mengundi. Dari dulu sampai sekarang, saya tidak pernah ketinggalan mengundi. Ini kewajipan kita. 

"Pengundi muda juga mesti datang mengundi. Tidak boleh anggap remeh kerana hari mengundi adalah penentu untuk masa depan kita dan Kluang. Harus keluar undi," katanya sambil menunjukkan jari yang sudah dicelup dakwat tanda selesai mengundi. 

Sementara itu bagi warga emas Zuriah Jaafar, 61, PRK DUN Mahkota membawa kenangan tersendiri apabila beliau dan suami Abdul Aziz Osman, 62, yang menetap di Taman Seri Suria di sini, dihantar oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ke SMK Seri Perdana. 

Ketibaan mereka pada 8.05 pagi di hadapan pusat mengundi itu mendapat tumpuan apabila orang ramai menyedari pemandu yang keluar dari kereta Proton X50 untuk membantu Zuriah yang memerlukan kerusi roda ialah menteri besar sendiri.

"Mak cik terkejut sebab tidak sangka menteri besar datang rumah untuk bawa kami mengundi. Sudah 10 kali mengundi tapi ini kali ini memang lain rasa seronok nak pergi mengundi...tak sangka sungguh," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan