WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK Mahkota: Pengundian Tamat, Penjumlahan Undi Bermula

28/09/2024 06:19 PM

KLUANG, 28 Sept (Bernama) -- Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini berakhir selepas semua 20 pusat mengundi yang dibuka sejak pukul 8 pagi ditutup secara rasmi pada 6 petang.

Selepas pusat pengundian ditutup, proses pengiraan undi bermula di pusat pengundian, sebelum kertas undi dibawa ke pusat penjumlahan rasmi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 61,274 pengundi layak untuk mengundi hari ini manakala undi awal telah berlangsung pada Selasa lepas, selain kertas undi pos telah dikeluarkan pada 15 Sept.

Secara keseluruhannya DUN Mahkota mempunyai 66,318 pengundi dengan majoritinya ialah pengundi Melayu iaitu 56 peratus, pengundi Cina (34 peratus), pengundi India (lapan peratus) dan bakinya lain-lain.  

SPR menerusi kenyataan memaklumkan sebanyak 47.16 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu mereka setakat 4 petang.

Cuaca di bandar Kluang adalah baik pada sebelah pagi, namun hujan lebat pada sebelah petang, menepati ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

PRK DUN Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan