WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pengawal Keselamatan Didakwa Bunuh Rakan Sekerja

30/09/2024 01:57 PM

KUALA SELANGOR, 30 Sept (Bernama) -- Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya pada 15 Sept lepas.

Wan Shahrizan Wan Kadir, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki tersebut kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Wan Shahrizan didakwa membunuh Raja Azman Raja Abdul Tahir, 43, di pondok pengawal keselamatan sebuah sekolah di Sabak Bernam dekat sini antara 2.30 pagi sehingga 4 pagi, pada 15 Sept lepas. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 13 sebatan, jika sabit kesalahan.  

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Azali Ibrahim dan mahkamah menetapkan 4 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes.

Semalam, media melaporkan masalah peribadi dan hutang dipercayai motif pembunuhan pengawal keselamatan yang mayatnya ditemukan dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama di Sabak Bernam pada 16 Sept lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan