WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAVCOM Lapor 32 Peratus Penyusutan Dalam Aduan

30/09/2024 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menerima 2,083 aduan pada separuh pertama 2024, penyusutan 32 peratus daripada 3,063 aduan yang diterima dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAVCOM berkata Laporan Pengguna dwi tahunannya bagi separuh pertama 2024 menunjukkan bahawa 98 peratus (2,038) aduan adalah berkaitan syarikat penerbangan, manakala baki dua peratus (45) terkait dengan perkhidmatan lapangan terbang.

Di kalangan syarikat penerbangan, Firefly mempunyai jumlah aduan tertinggi bagi setiap satu juta penumpang, mencatatkan 166 aduan, diikuti oleh Batik Air (139) dan AirAsia X (127).

“Tiga kategori aduan teratas ialah pembatalan penerbangan, bagasi yang disalah kendali serta kelewatan penerbangan, secara bersama menyumbang 42 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya.

Malaysia Airlines, MASwings dan Firefly masing-masing mencapai kadar resolusi lebih 90 peratus dalam tempoh 30 hari. 

Bagi aduan berkaitan lapangan terbang, 89 peratus berjaya diselesaikan dalam tempoh yang sama.

MAVCOM menyelesaikan dan menutup 97 peratus (2,028) aduan yang diterima pada separuh pertama 2024, dengan 45 peratus penyelesaian memihak kepada pengguna, selalunya dengan syarikat penerbangan mengubah keputusan awal bagi memberikan hasil yang lebih saksama.

Bagaimanapun, MAVCOM berkata 579 aduan dianggap tidak boleh diambil tindakan kerana dokumentasi yang tidak lengkap atau isu di luar bidang kuasa suruhanjaya itu.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata laporan itu datang pada masa yang genting memandangkan permintaan perjalanan udara terus melonjak, memberikan peluang dan cabaran untuk sektor penerbangan.

Perkembangan ini sejajar dengan penambahbaikan terkini kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), yang menawarkan peningkatan perlindungan untuk pengguna semasa perjalanan udara.

“Kami menekankan kepentingan industri bagi mengutamakan kebimbangan pengguna dan amat mengesyorkan agar anda menggunakan pandangan dalam laporan ini sebagai sumber yang bernilai.

“Suruhanjaya komited untuk memantau dan menilai prestasi industri dengan teliti bagi mengekalkan standard perkhidmatan dan perlindungan pengguna yang tinggi,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan