WILAYAH - UTARA > BERITA

Jualan Kasih KEDA Di Sik Tawar Harga Barang Keperluan Lebih Murah, Dapat Sambutan Hangat

30/09/2024 03:43 PM

SIK, 30 Sept (Bernama) -- Kira-kira 2,000 pengunjung berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran, di program Jualan Kasih Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) MADANI Tahun 2024 di Pejabat KEDA Zon 4 dekat sini, hari ini.

Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff berkata program yang diadakan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri Kedah itu bertujuan membantu rakyat yang terkesan akibat keadaan ekonomi tidak menentu pada masa ini.

Beliau berkata orang ramai telah menunggu seawal pukul 8 pagi bagi mendapatkan pelbagai barang yang ditawarkan dalam program itu, dengan barang yang jualan yang menjadi tumpuan ramai termasuk beras, ayam, telur ayam, gula, minyak masak dan pelbagai barangan lagi.

"Jualan kombo (ayam, minyak peket, gula) murah 35 peratus. Kita sediakan 200 pek yang dijual pada harga RM15, manakala untuk tempoh tertentu yang dirujuk sebagai 'happy hour', sebanyak 100 pek barangan sama dijual pada harga RM10," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Jualan Kasih tersebut di sini, hari ini.

Beliau berkata program jualan kali ini merupakan kali kedua diadakan dan ada dua lagi siri jualan sama bakal diadakan sebelum penghujung tahun ini.

"Sebanyak RM150,000 diperuntukkan KEDA bagi menjayakan program jualan ini bagi tahun ini, dengan 53 jenis barangan ditawarkan. Program ini juga dapat membantu para usahawan serta dalam masa sama meringankan kos sara hidup penduduk sekitar," katanya.

Sementara itu seorang pengunjung Daud Md Amin, 67, berkata dia mengetahui mengenai jualan itu menerusi jiran dan terus datang sekitar pukul 10 pagi tadi bersama isterinya.

"Saya sempat membeli beras lima kilogram, pek 'happy hour', serta beberapa barangan lain termasuklah pisang berangan pada harga RM4 sesikat. Jualan daging juga murah, RM26 sekilogram. Memang murah dari di kedai dan saya harap akan ada lagi program jualan seperti ini nanti," katanya.

Che Embun Musa, 75, pula berkata dia datang dari Kuala Ketil bersama anak perempuannya untuk mendapatkan barangan pada harga murah.

"Mulanya datang untuk tengok sahaja, akhirnya sebab murah, banyak juga barangan yang dibeli, harga memang sangat murah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan