WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anak Sabari Kenal Suspek, Anggap Tindakan Amat Kejam

30/09/2024 10:23 PM

JITRA, 30 Sept (Bernama) -- Anak lelaki kepada pesara Felcra, yang disyaki dibunuh dengan cara dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dekat sini, mengakui mengenali suspek dan menyifatkan perbuatan mereka sebagai tindakan yang sangat kejam.

Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25, berkata beliau mengenali suspek yang merupakan seorang kontraktor yang sedang membina rumah jiran di hadapan rumah ayahnya sejak lima bulan lalu.

“Saya kenal suspek yang melakukan perbuatan itu terhadap ayah dan tindakannya sangat keterlaluan dan kejam,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Muhammad Amir Hakimi hadir ke lokasi kejadian di Sungai Padang Terap untuk mendengar penerangan daripada pegawai polis berhubung operasi pencarian jasad ayahnya oleh pihak berkaitan.

"Ayah sering bertembung dengan suspek kerana dia perlu lalu di hadapan rumah yang sedang dibina. Jadi, memang mereka selalu bertegur sapa dan berbual. Suspek bukan penduduk kampung ini, dia orang luar, dan ayah saya memang baik dengannya.

"Perbuatan suspek terhadap ayah memang keterlaluan, sanggup mencampak ayah ke dalam sungai. Sedangkan ayah seorang yang sangat baik, kalau suspek minta buah belimbing pada waktu malam pun, ayah sanggup pergi petik dan beri padanya... saya tak sangka dia ada niat jahat," katanya.

Muhammad Amir Hakimi, anak bongsu daripada tiga beradik, berkata apabila dimaklumkan mengenai perkembangan kes itu oleh pihak polis, beliau dan seluruh keluarganya berasa sangat sedih dan berharap jasad ayahnya dapat ditemukan secepat mungkin.

"Selagi mayat ayah tidak dijumpai, kami akan terus melakukan solat hajat sehingga ayah ditemui. Saya harap pihak yang melakukan pencarian ini dapat menemukan cara terbaik untuk mencari ayah saya, lebih-lebih lagi dengan keadaan banjir sekarang.

"Saya sebagai anak lelaki perlu kuat demi keluarga. Kalau saya tumbang, semua akan runtuh. Ada beberapa maklumat yang saya ketahui, tapi saya tunggu dulu kenyataan daripada pihak polis kerana bimbang tersilap kata," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh mengesahkan Sabari Baharom, 62, telah dicampak ke dalam sungai dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat, namun jasad mangsa yang hilang sejak 4 Sept lepas belum ditemui lagi.

Maklumat tersebut diperolehi susulan penahanan suspek lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun Jumaat lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan