DHAKA, 30 Sept (Bernama-UNB) -- Satu tunjuk perasaan di kawasan Taman Ramna, di sini yang menuntut kerajaan menaikkan had umur kemasukan ke perkhidmatan awam kepada 35 tahun, mencetuskan pertempuran dengan pihak polis pada petang Isnin.
United News of Bangladesh (UNB) melaporkan bahawa para penunjuk perasaan, kebanyakannya golongan muda yang mencari pekerjaan cuba berarak menuju ke kediaman Ketua Penasihat Kerajaan Interim Dr Muhammad Yunus, sehingga membawa kepada pertempuran dengan pihak berkuasa.
Konfrontasi itu memuncak sekitar pukul 1.45 petang apabila ratusan penunjuk perasaan yang telah berkumpul lebih awal di Shahbagh berhampiran Muzium Negara, merempuh sekatan polis berhampiran Jamuna, kediaman Ketua Penasihat.
Apabila penunjuk perasaan cuba menghampiri ke kediaman Yunus, polis bertindak dengan menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai, lapor UNB. Saksi melaporkan suasana kacau-bilau apabila penunjuk perasaan melarikan diri ke pelbagai arah.
Selain gas pemedih mata, beberapa penunjuk perasaan mendakwa polis turut menggunakan belantan terhadap mereka.
Bagaimanapun, pihak polis menegaskan bahawa penunjuk perasaan mengabaikan permintaan berulang kali untuk meninggalkan kawasan itu memaksa mereka mengambil tindakan.
Usaha untuk menghubungi Pegawai Bertugas Balai Polis Ramna bagi mendapatkan komen tidak berjaya, lapor UNB.
-- BERNAMA-UNB
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial