WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LHDN Pastikan Hak Pembayar Cukai Terbela, Sistem Percukaian Adil

01/10/2024 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sentiasa memastikan hak pembayar cukai terbela dan dilindungi sepanjang berurusan bagi memastikan sistem percukaian yang berkesan, adil dan saksama dalam negara.

Pegawai Perhubungan Awam Cawangan Guaman Lembah Klang (CGLK) LHDN Nur Syazwani Hamzah berkata hak pembayar cukai untuk mengetahui maklumat percukaian sering dijelaskan secara umum menerusi pelbagai platform hebahan dan penyampaian maklumat percukaian sedia ada, seperti di laman web rasmi LHDN www.hasil.gov.my.

“Selain itu, LHDN turut menghantar surat atau notis ke alamat terkini pembayar cukai untuk makluman status percukaian pembayar cukai. Sebab itulah, pembayar cukai perlu maklumkan alamat terkini mereka kepada LHDN sama ada secara dalam talian menggunakan e-Kemaskini di Portal MyTax atau secara bertulis,” katanya.

Beliau berkata orang ramai juga boleh menyemak status kedudukan cukai terkini selain status sekatan jalanan menerusi Portal MyTax dalam memastikan perancangan cukai mengikut panduan perundangan yang betul, sekali gus memastikan pembayar cukai tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Nur Syazwani berkata LHDN pada tahun ini akan memberikan tumpuan kepada kategori dan tingkah laku pembayar cukai dalam usaha mengubah persepsi orang ramai terhadap hal ehwal percukaian dan LHDN.

Beliau berkata selain memperkasakan undang-undang percukaian sedia ada, LHDN turut menggalas peranan mendidik masyarakat melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai secara sukarela.

Katanya masih terdapat golongan masyarakat dan pembayar cukai yang melihat agensi itu sebagai entiti yang ditakuti, sekali gus membantutkan usaha mewujudkan persekitaran pematuhan yang maksimum.

“Kategori atau tingkah laku pembayar cukai merangkumi pembayar cukai dengan prestasi cemerlang dalam pelaporan dan pembayaran cukai, pembayar cukai yang mempunyai risiko pengelakan cukai, pembayar cukai atau individu yang menghasilkan pendapatan dalam talian.

“Juga pembayar cukai atau syarikat yang mempunyai kes-kes ekonomi bayangan, pembayar cukai atau syarikat dengan transaksi rentas sempadan dan institusi atau organisasi yang diluluskan di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967),” katanya ketika menjadi tetamu program Klinik Cukai terbitan Bernama Radio, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Perhubungan Awam CGLK LHDN Ahmad Qayyum Razzirullah Ahmad Effendi berkata tindakan undang-undang merupakan langkah terakhir yang akan diambil dalam usaha memastikan pembayar cukai mempunyai tahap pematuhan yang tinggi.

Beliau berkata tindakan undang-undang hanya diambil sekiranya pembayar cukai masih gagal mematuhi undang-undang percukaian setelah pelbagai usaha dijalankan oleh LHDN untuk mengingatkan individu atau syarikat terbabit.

“Ada beberapa situasi utama yang boleh menyebabkan seseorang itu dikenakan tindakan undang-undang seperti tidak melaporkan pendapatan, tidak membayar cukai yang dikenakan ke atas mereka atau terkurang lapor pendapatan.

“Tindakan undang-undang boleh juga dikenakan sekiranya pembayar cukai meninggalkan negara tanpa membayar cukai, tidak menyimpan rekod percukaian, tidak memberi maklumat yang diminta oleh LHDN, tidak melaporkan pertukaran alamat dalam tempoh tiga bulan atau sengaja mengelak cukai atau membantu orang lain mengelak cukai,” katanya.

Ahmad Qayyum Razzirullah berkata apabila seseorang pembayar cukai menerima notis berkaitan tindakan undang-undang daripada LHDN, mereka perlu mengetahui apa jenis kesalahan cukai yang dikenakan dan sama ada tindakan guaman sivil atau pendakwaan yang dikenakan.

“Kedua, lihat tempoh maklum balas yang tertera di notis berkenaan dan beri maklum balas kepada LHDN segera. Pembayar cukai boleh semak cawangan LHDN yang menguruskan tindakan undang-undang tersebut dan terus hadir atau menghubungi LHDN terlebih dahulu bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Dengan isu penipuan dalam talian yang sedang berleluasa pada ketika ini, kami amat menggalakkan pembayar cukai untuk terus hadir atau menghubungi LHDN terdekat supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan