WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bekas Menteri Pengangkutan Singapura Dihukum Penjara 12 Bulan

03/10/2024 12:04 PM

SINGAPURA, 3 Okt. (Bernama) -- Bekas Menteri Pengangkutan Singapura S. Iswaran dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah minggu lepas atas empat pertuduhan menerima barangan berharga sebagai penjawat awam dan satu pertuduhan menghalang keadilan.

Hakim Vincent Hoong ketika menjatuhkan hukuman menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan kedudukan pihak pembelaan mahupun pendakwaan.

Pihak pendakwa raya sebelum itu mengusulkan hukuman penjara antara enam hingga tujuh bulan manakala, pihak pembelaan memohon hukuman penjara tidak lebih daripada lapan minggu.

"Saya berpendapat bahawa adalah wajar untuk mengenakan hukuman yang lebih berat daripada kedudukan kedua-dua pihak. Menerima hujahan salah satu pihak akan menyebabkan hukuman yang nyata tidak mencukupi," katanya.

Hakim juga membenarkan permohonan pihak pembelaan agar tertuduh menyerah diri kepada mahkamah pada 7 Okt untuk memulakan hukuman, tertakluk kepada sebarang permohonan lanjut.

Jaminan tertuduh dilanjutkan mengikut terma dan syarat sedia ada.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan