WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jazeman Sandaran Utama Negara Berlumba Di Sukan Permotoran FIA

05/10/2024 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Pelumba berpengalaman, Jazeman Jaafar menjadi sandaran utama pasukan negara pada Sukan Permotoran Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) 2024 di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol pada 23-27 Okt ini.

Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dalam kenyataan mengumumkan Jazeman akan membawa cabaran negara bagi kategori GT Sprint manakala Weiron Tan dan Selim Rafique akan bersaing dalam kategori GT.

MAM menjelaskan kategori Esports pula menampilkan Naquib Nor Azlan dan Nabil Nor Azlan dengan kedua-duanya mendapat sentuhan bekas pelumba Formula 1 Alex Yoong.

“Dengan semangat kerjasama dan keazaman, Pasukan Malaysia bersedia untuk memberikan saingan sengit dan menyasarkan tempat di podium,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, Presiden MAM Tan Sri Mokhzani Mahathir menerusi kenyataan sama meluahkan rasa bangga dan teruja menghantar barisan pelumba tempatan bagi acara yang dianggap sebagai ‘Sukan Olimpik’ dalam dunia sukan permotoran berkenaan.

“Saya percaya lima pelumba Malaysia ini mempunyai kebolehan untuk bersaing dengan pelumba terbaik di peringkat antarabangsa, dan acara ini adalah peluang yang cukup baik untuk mereka mempamerkan bakat dari Asia Tenggara,” katanya.

Ini adalah kali ketiga Malaysia akan bersaing di FIA Motorsport Games dengan penampilan sulung negara pada tahun 2019 di Itali yang menyaksikan pemenang eRacing GP 2019, Mior Muhamad Hafiz menduduki tempat kelapan dalam Piala Digital.

Pada tahun 2022 di Perancis, Naquib Azlan mengatasi pesaing dari lebih 60 negara dan layak sebagai finalis dalam Piala Esports.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan