WILAYAH - TENGAH > BERITA

Peruntukan Tebatan Banjir Sungai Damansara Diluluskan, Kurangkan Risiko Di Sungai Buloh

05/10/2024 03:55 PM

SUNGAI BULOH, 5 Okt (Bernama) -- Peruntukan berjumlah RM481 juta bagi Projek Tebatan Banjir Sungai Damansara telah diluluskan sebagai usaha mengurangkan risiko banjir di kawasan Parlimen Sungai Buloh.

Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan berkata projek berkenaan kini berada di peringkat permulaan, dengan tender sudah ditutup dan surat tawaran telah diberikan kepada pihak kontraktor.

"Walaupun projek belum bermula, aktiviti di Sungai Subang telah dimulakan dengan peruntukan RM16 juta.

"Tidak pernah ada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang meluluskan projek sebesar ini untuk Sungai Buloh. Saya sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Pendidikan bagi Parlimen Sungai Buloh di sini hari ini.

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata selain itu, terdapat satu lagi usaha mengurangkan risiko banjir, iaitu Projek Tebatan Banjir Sungai Buloh bagi Fasa Dua dengan anggaran kos hampir RM780 juta, yang masih di peringkat cadangan.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan sedang berusaha mengurangkan risiko banjir di seluruh negara, termasuk di Parlimen Sungai Buloh, melalui pelbagai langkah yang dilaksanakan secara berperingkat.

Mengulas mengenai situasi banjir kilat di beberapa kawasan dalam Parlimen Sungai Buloh, Ramanan berkata situasi terkini adalah dalam keadaan terkawal, selain Pasukan Khidmat Parlimen berkenaan menerusi unit Pasukan Tindakan Pertama (FRT) telah bertindak produktif membantu mangsa terlibat.

"Saya sangat berterima kasih kepada unit FRT kerana mengutamakan bantuan kepada mangsa, khususnya golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal, dan keluarga dengan anak ramai, walaupun rumah mereka sendiri terkesan akibat banjir," katanya.

Ramanan berkata beliau dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya Rusli Jaafar juga akan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa lokasi terjejas hari ini, bagi meringankan beban mereka. 

Sebelum ini, beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh dilaporkan mengalami banjir kilat ekoran hujan lebat pada Khamis lepas, antaranya Paya Jaras, Kampung Melayu Subang dan Merbau Sempak.

Mengulas mengenai majlis hari ini, Ramanan berkata Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah menyediakan peruntukan bantuan pendidikan kepada sekolah dan pelajar di sekitar Paya Jaras bagi membantu meningkatkan mutu pendidikan sepanjang sesi persekolahan serta semester pengajian Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Sebanyak tujuh sekolah menengah kebangsaan (SMK) menerima tajaan Tuisyen Rakyat berjumlah RM70,000 manakala lapan sekolah kebangsaan (SK) menerima bantuan sekolah berjumlah RM40,000 selain bantuan persekolahan berjumlah RM50,000 kepada 500 pelajar.

Turut disampaikan ialah bantuan awal pengajian kepada 51 pelajar IPT melalui Program Penyerahan Insentif Pendidikan YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan