WILAYAH - SABAH > BERITA

Lebih 1,000 Hadir Hari Bertemu Pelanggan JKR Labuan

05/10/2024 08:10 PM

LABUAN, 5 Okt (Bernama) -- Lebih 1,000 orang menghadiri program Hari Bertemu Pelanggan anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan di sini hari ini.

Program bermula 7 pagi hingga 4 petang itu bermatlamat mengeratkan hubungan antara jabatan berkenaan dengan masyarakat setempat.

Pengarah Kerja Raya Labuan Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah berkata program itu bukan sahaja dapat menerangkan berkaitan perkhidmatan JKR kepada orang ramai, tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya.

"Melalui program seumpama ini, kami dapat mendengar pandangan dan maklum balas daripada masyarakat sekali gus meningkatkan perkhidmatan yang disediakan,” katanya kepada Bernama pada program bertemakan "Pandu Cermat, Tiba Selamat” itu di sini hari ini.

 Beliau berkata jabatan itu turut menekankan usaha bagi menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur, termasuk penyelenggaraan rutin dan kecemasan jalan.

Mohd Faizul berkata selain keadaan jalan raya, faktor kenderaan dan sikap pemandu turut menyumbang kepada kejadian kemalangan.

Beliau sehubungan itu memohon kerjasama semua pihak termasuk JKR Labuan, Perbadanan Labuan, polis serta pengguna jalan raya untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.

Bersempena program itu, Kementerian Kerja Raya turut mempromosikan aplikasi "MyJalan" yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Ogos lepas.

Acara lain ialah taklimat keselamatan jalan raya oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), aktiviti zumba, taklimat bahan keselamatan, cabutan bertuah dan pelbagai gerai jualan.

Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat Kementerian Kerja Raya Datuk Masri Baharuddin pula berharap Hari Bertemu Pelanggan itu dapat membantu mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan dan mengukuhkan kerjasama antara JKR, agensi tempatan serta masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan