WILAYAH - TENGAH > BERITA

Belanjawan 2025: Perak Harap Peruntukan Projek Tebatan Banjir Diluluskan

05/10/2024 09:32 PM

IPOH, 5 Okt (Bernama) -- Perak berharap projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang memerlukan peruntukan tinggi mendapat perhatian dalam Belanjawan 2025, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata RTB antara senarai projek belanjawan besar yang telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), yang memerlukan perhatian khusus daripada Kerajaan Persekutuan.

“Projek RTB tidak dilupakan kerana banjir berlaku setiap masa dan memberi kerugian besar kepada negeri dan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Hari Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Perak dan Program Naik Taraf Muzium Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani berkata selain itu terdapat peruntukan lain diperlukan seperti untuk melaksanakan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, peruntukan untuk mencari gali bahan mineral serta projek melibatkan pembasmian kemiskinan.

Bagi projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, katanya Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menyalurkan RM4 bilion bagi pembangunan projek terbabit, yang dijangka diberikan secara berperingkat.

“Kita juga minta peruntukan supaya diberi kepada kerajaan negeri untuk memperhebatkan lagi usaha mencari gali bahan-bahan mineral sebab kita sudah tubuhkan Terra Mineral Lab (TML), fungsinya ialah untuk menentusahkan apa jenis mineral yang ada di Perak,” katanya.

Saarani berkata pada esok, beliau akan berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi bagi membincangkan senarai projek terbabit.

Anwar dijadual melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Ipoh pada pagi esok dan pada sebelah petang merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Headwood, Sungai Siput.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan