WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pahang Negeri Ketiga Isytihar Amalan GISBH Sesat, Menyeleweng

05/10/2024 11:07 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Pahang merupakan negeri ketiga selepas Perlis dan Selangor mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama itu sebagai menyeleweng dan sesat.

Ketetapan itu dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang pada mesyuarat khas yang bersidang Rabu lepas, dengan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan supaya ia diedarkan kepada umum. 

Mufti Pahang Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata ia berdasarkan dua kepercayaan yang didakwa berlaku dalam kumpulan berkenaan iaitu meneruskan kepercayaan dan amalan dalam Aurad Muhammadiah dibawa oleh al-Arqam yang telah diwartakan sesat dan menyeleweng pada 1994.

Beliau berkata pengikut GISBH juga mempercayai bahawa pengasas al-Arqam Ashaari Muhammad yang meninggal dunia pada 2010 tidak mati sebaliknya ghaib.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga memutuskan sistem ekonomi yang dibangunkan pengikut GISBH tidak diiktiraf sebagai ekonomi Islam dan tidak menepati syarak.  

Selain itu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) sudah membuat keputusan berkaitan pandangan hukum terhadap doktrin fahaman GISBH dalam mesyuarat pada 23 dan 24 Sept lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata  pandangan hukum berkenaan akan dibawa ke Majlis Raja-raja yang akan bersidang pada 23 dan 24 Okt ini bagi mendapatkan perkenan.

Mohd Na'im berkata setelah Majlis Raja-Raja memberikan perkenan kepada pandangan hukum berkenaan, negeri-negeri akan membawa kepada jawatankuasa fatwa negeri yang dipengerusikan oleh mufti masing-masing.

Di SELANGOR, Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata sebanyak 108 individu dikaitkan dengan GISBH yang sebelum ini ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mungkin perlu menjalani proses pemulihan akidah sebagai sebahagian daripada hukuman.

Beliau berkata tindakan terbabit selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang memutuskan GISBH serta rangkaiannya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Di SINGAPURA, Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) menafikan sebarang kaitan dengan GISBH atau pergerakan Al-Arqam susulan terdapat beberapa hantaran media sosial yang mengaitkan mereka dengan pergerakan terbabit.

Presidennya Muhammad Imran Kuna berkata MCAS yang juga dikenali sebagai Darul Arqam Singapura berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya termasuk tindakan undang-undang.

Sementara itu di KEDAH, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan polis terhadap kes GISBH dijalankan secara komprehensif dari pelbagai sudut peruntukan undang-undang, menyebabkan jumlah tangkapan individu yang dikaitkan dengan organisasi tersebut berubah mengikut keperluan siasatan.

Saifuddin Nasution berkata pada peringkat awal siasatan, hanya empat peruntukan undang-undang melibatkan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri digunakan, namun kini siasatan sudah bertambah sehingga 10 peruntukan undang-undang di bawah pelbagai agensi kementerian itu.

Beliau berkata antara undang-undang yang diguna pakai untuk siasatan termasuk Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017, Akta Pertubuhan 1966, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.

Pada awal September lepas, Polis Diraja Malaysia melancarkan Op Global dan  menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung Malaysia yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Serbuan itu menyaksikan sejumlah 572 mangsa berjaya diselamatkan dan membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH termasuk pihak pengurusan tertinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan