WILAYAH - TENGAH > BERITA

Liga Super: Perlawanan Perak FC-JDT Ditunda Sekali Lagi Akibat Faktor Cuaca

06/10/2024 12:49 AM

IPOH, 5 Okt (Bernama) -- Aksi Liga Super membabitkan Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadual berlangsung di Stadium Perak malam ini, ditunda sekali lagi ke tarikh baharu berikutan cuaca hujan.

Hujan berterusan menyebabkjan permukaan padang di Stadium Perak digenangi air ketika kedua-dua pasukan melakukan sesi pemanas badan walaupun padang dalam keadaan becak susulan hujan di bandar raya Ipoh sejak 6 petang tadi.

Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 8.15 malam itu, ditangguh sebanyak dua kali kepada 8.45 malam dan seterusnya 9.15 malam oleh Komisioner Perlawanan Teoh Hee Loon.

Pada 9.50 malam, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan perlawanan ditangguhkan atas faktor cuaca dan keadaan padang yang tidak mengizinkan, dan akan menetapkan tarikh baharu.

Keputusan itu juga menyaksikan Perak FC terlepas aksi terakhir bermain di Stadium Perak kerana selepas ini gelanggang tuan rumah aksi Liga Super berpindah ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bagi memberi laluan kerja menaik taraf stadium. 

Pada 17 Ogos lepas, perlawanan bagi kedua-dua pasukan di Stadium Perak terpaksa ditunda disebabkan oleh masalah sama.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan