WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lubnan Berdepan Krisis Kemanusiaan 'tidak Tergambarkan' - Doctors Without Borders

11/10/2024 09:51 AM

GENEVA, 11 Okt (Bernama-Anadolu) -- Lubnan sedang berdepan krisis kemanusiaan yang "sangat dahsyat dan sukar digambarkan" apabila Israel terus melancarkan serangan udara dan darat, menurut Doctors Without Borders (MSF) di Lubnan, lapor Agensi Anadolu.

Penyelaras perubatan MSF, Luna Hammad memberitahu bahawa lebih sejuta orang hilang tempat tinggal akibat pengeboman dan keganasan, termasuk di selatan Lubnan, Lembah Bekaa, dan kawasan selatan Beirut.

"Ramai yang kini hidup dalam keadaan sesak dan kotor.

"Keperluan asas seperti air bersih, makanan, dan kemudahan kebersihan yang penting untuk mencegah wabak penyakit juga sukar diperoleh," kata Hammad.

Lubnan kekurangan keupayaan untuk menangani krisis ini, yang semakin teruk akibat masalah ekonomi, letupan Beirut pada 2020, dan pandemik COVID-19, katanya.

Israel turut menyasarkan petugas kesihatan dan infrastruktur, menjadikan keadaan lebih rumit.

Sebanyak 800 tempat perlindungan dan sekolah dibuka untuk menampung mangsa yang kehilangan tempat tinggal, tetapi ramai masih mencari tempat selamat.

Doctors Without Borders berusaha menyediakan bantuan perubatan tetapi menghadapi halangan keselamatan.

Beliau menegaskan pentingnya pasukan kesihatan bebas bergerak di Lubnan dan menyeru bantuan antarabangsa, termasuk kewangan dan logistik.

"Krisis ini sudah sangat kritikal, dan jika berlarutan, ia boleh menjadi bencana," beliau memberi amaran.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan