WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TDM Gagalkan Cubaan Seludup Ketum Ke Negara Jiran

12/10/2024 04:08 PM

KUALA NERANG, 12 Okt (Bernama ) -- Pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan menyeludup 628 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM18,800 ke Thailand di sempadan negara di Padang Terap, semalam.

Menurut Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan hari ini, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diiringi beberapa motosikal dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika melalui laluan di sempadan sebelah Malaysia kira-kira 3.30 petang.

"Pasukan operasi bertindak mengejar kesemua kenderaan tersebut dan pacuan empat roda dan sebuah motosikal telah terbalik dipercayai hilang kawalan dan suspek berjaya melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan dan motosikal terbalik tersebut telah menemukan sembilan guni dan 33 plastik hitam yang berisi daun ketum dengan jumlah berat keseluruhan 628 kg dan dianggar bernilai RM18,840," menurut kenyataan itu.

Anggaran nilai rampasan termasuk kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux serta motosikal Honda Wave adalah sebanyak RM81,340 dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara terpelihara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan