WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Langkah Perundangan Tangani Sindiket Scammer Tumpuan Parlimen Hari Ini

14/10/2024 08:31 AM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kesediaan kerajaan meminda undang-undang bagi menangani sindiket scammer atau penipuan antara yang akan dibincangkan pada hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu dikemukakan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) kepada Perdana Menteri pada sesi jawab lisan. 

Khoo mengajukan soalan berhubung usaha kerajaan menangani sindiket scammer yang kini menumpukan penggunaan akaun syarikat sebagai akaun keldai untuk menjalankan aktiviti haram itu selepas pindaan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) pula bertanyakan soalan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkaitan langkah mengurangkan kebergantungan dan mempelbagaikan strategi pelaburan serta perdagangan bagi memastikan ekonomi Malaysia berdaya tahan daripada kesan ketegangan geopolitik Rusia-Ukraine serta di Timur Tengah.

Soalan mengenai komitmen kerajaan dalam mengimbangi pelbagai keperluan untuk pembangunan di samping memelihara kawasan hutan simpan di Malaysia pula dikemukakan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam. 

Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) meminta Menteri Luar menyatakan tindakan kerajaan dalam menangani isu kedaulatan wilayah maritim Malaysia di perairan Laut China Selatan memandangkan suhu konflik kini yang kian memuncak terutamanya melibatkan negara jiran seperti Filipina.

P. Prabakaran (PH-Batu) pula mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri tentang status keselamatan terkini dan tindakan yang bakal diambil hasil kajian berkaitan tanah jerlus di Jalan Masjid India termasuk kawasan lain yang berpotensi berlaku mendapan.

Persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan bacaan kali pertama dua rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024.

Usai sesi itu, Dewan Rakyat akan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024. 

Rang undang-undang itu antara lain bertujuan memasukkan seksyen baharu 14a ke dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk membolehkan seseorang pegawai diberi kuasa memerintahkan mana-mana orang yang dijangkiti sesuatu penyakit berjangkit menjalani pengasingan atau pengawasan.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 12 Dis depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan