WILAYAH - SELATAN > BERITA

Belanjawan 2025: Kerajaan Diharap Sedia Peruntukan Khas Tingkat Industri Pelancongan Melaka

14/10/2024 11:43 AM

MELAKA, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan diharap dapat memberikan peruntukan khas untuk memperbaiki infrastruktur dan kemudahan awam di Melaka, khususnya di kawasan tumpuan pelancong, serta menambah peruntukan bagi merancakkan aktiviti promosi pelancongan dalam Belanjawan 2025 akan datang.

Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) Madeline Kuah Mei Lee berkata ini adalah penting terutama selepas Melaka dipilih sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Dunia (WTD) 2025. Oleh itu, peluang ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkenalkan Melaka dan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang unggul.

"Melaka juga merupakan negeri yang kaya dengan warisan, sejarah dan budayanya. Usaha untuk memelihara dan memulihara aset-aset ini perlu dilakukan secara berterusan, termasuk pengindahan kawasan sekitar meliputi jalan raya, lampu, papan tanda dan lain-lain untuk meningkatkan imej tarikan pelancongan.

"Selain itu, antara langkah proaktif perlu dilakukan kerajaan ialah memberikan insentif pelancongan seperti pakej bajet, bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara. Kerajaan juga disarankan untuk menyediakan insentif bagi syarikat penerbangan untuk membuka dan meningkatkan kekerapan penerbangan dari Pekan Baru, Indonesia, ke Melaka," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata menerusi usaha tersebut, industri pelancongan dapat berkembang dengan lebih baik kerana ia memberi impak menyeluruh kepada sektor perhotelan, makanan, pengangkutan, dan lain-lain yang juga menyumbang kepada ekonomi negara.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemilik Homestay dan Kampungstay Melaka Datuk Akramuddin Abd Aziz, berharap kerajaan dapat memberikan perhatian khusus kepada sektor pelancongan di kawasan luar bandar.

Beliau berkata produk pelancongan luar bandar seperti inap desa, merupakan satu produk unik dan mampu memberi pengalaman baharu serta berbeza kepada pengunjung, terutamanya pelancong dari luar negara.

"Usaha untuk memperluas promosi perlu dilakukan terutamanya sempena penganjuran WTD 2025, untuk memperkenalkan budaya masyarakat daripada pelbagai aspek seperti cara hidup dan makanan di samping memperkenalkan suasana desa kepada delegasi dan pelancong asing.

"Justeru kerajaan dapat memberikan sokongan sewajarnya menerusi peruntukan khas bagi merancakkan sektor pelancongan negara untuk terus berdaya saing dan dapat membantu ekonomi rakyat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan